Kontemporari

soal jawab ....


Tabung Baitulmal Sarawak asyik mengaku dirinya sebagai agen pelengkap. Apakah peranannya sebagai agen pelengkap?

Dalam kedudukan pemerintahan masa ini, kesejahteraan rakyat adalah dibawah tanggungjawab hakiki kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Oleh yang demikian, setiap tahun melalui hasil kutipan cukai, kerajaan sentiasa memberi keutamaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat didahulukan. Dalam hal ini, Tabung Baitulmal Sarawak berperanan untuk memastikan bantuannya tidak bertindih dan hanya memberi keutamaan bagi mereka yang berhak melalui proses penyiasatan dan keperluan hukum dibantu di bawah 3 program utamanya iaitu Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Memantapkan Kebajikan Ummah dan Membangunkan Institusi Islam.

Tabung Baitulmal Sarawak didapati banyak mempunyai kakitangan yang bukan dalam bidang agama, apakah ada jaminan bahawa dari segi operasinya tidak tersasar dari hukum?

Alhamdulillah, setakat ini pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak telah dilaksanakan mengikut kehendak hukum dan keperluan undang-undang serta prosedur yang termaktub dalam setiap operasinya. Dari segi penyata kewangan yang telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara, Tabung Baitulmal Sarawak telah memperolehi Sijil Bersih Penyata Kewangannya semenjak tahun 2000. Pada tahun 2009, Tabung Baitulmal Sarawak telah mendapat Pengurusan Kewangan 4 Bintang indek akauntabiliti daripada Jabatan Audit Negara. Selain itu, Tabung Baitulmal Sarawak telah mendapat beberapa anugerah seperti Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak 2005, Anugerah Kebangsaan 5S untuk tahun 2005, 2006 dan 2009. Tabung Baitulmal Sarawak turut dianugerahkan sebagai Pengamal Kualiti baik diperingkat Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan. Terkini Tabung Baitulmal Sarawak telah didaftarkan sebagai pengamal ISO mengikut kehendak Syariah selain daripada ISO biasa semenjak tahun 2005.

Secara umumnya urusan pentadbiran Tabung Baitulmal Sarawak adalah sama seperti institusi Islam yang lain. Cuma yang membezakan adalah dalam perspektif pengagihan Wang Zakat. Dalam hal ini pengagihan wang zakat Tabung Baitulmal Sarawak telah dibuat mengikut Garis Panduan yang telah diluluskan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sarawak dan MIS.*

Tabung Baitulmal Sarawak sudah mula terlibat dalam iniasitif kualiti seperti 5S, ISO dan sebagainya. Persoalannya adakah kehendak hukum tidak mencukupi?

Penglibatan Tabung Baitulmal Sarawak dalam beberapa inisiatif kualiti seperti 5S, ISO dan sebagainya adalah sejajar dengan prinsip institusi Islam hendaklah setaraf dan setanding dengan organisasi yang cemerlang. Selain itu, tidak dinafikan juga bahawa segala kehendak hukum semua dipenuhi khususnya dalam Bab Pengagihan Dana Zakat di mana Garis Panduannya telah pun disahkan oleh Sahibus Samahah Pejabat Mufti Negeri Sarawak.

Tabung Baitulmal Sarawak mempunyai pejabat yang dilengkapi dengan peralatan yang moden dan canggih, adakah pembiayaan bagi pembelian itu mengunakan Wang Zakat?

Semua Wang Zakat hanya boleh dikeluarkan mengikut program yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Agihan Zakat yang telah diluluskan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sarawak dan Majlis Islam Sarawak. Oleh yang demikian, mana-mana pembelian peralatan adalah melalui peruntukan Dana Tabung Baitulmal Sarawak yang sudah semestinya perlu bagi mana-mana organisasi di dunia ini untuk meningkatkan kecekapan operasinya.

Apakah Bela Sempurna Sdn. Bhd. sebagai anak syarikat Tabung Baitulmal Sarawak dapat meningkatkan kecekapan tindakan Tabung Baitulmal Sarawak dalam mengendalikan hartanah pemilikan Majlis Islam Sarawak?

Kewujudan syarikat Bela Sempurna Sdn. Bhd. adalah bertujuan untuk mempercekapkan proses penyelengaraan melalui kaedah out sourcing yang dapat menjimatkan kos. Selain itu, anak syarikat itu telah dapat memberi ruang dan peluang bagi kita menyedia pekerjaan supaya anak-anak Islam turut terdedah dengan aspek perniagaan ini. Tujuan ini adalah untuk memastikan Tabung Baitulmal Sarawak selaku wakil kepada Majlis Islam Sarawak yang bertanggungjawab dalam menjaga hartanah Majlis Islam Sarawak dapat lebih fokus kepada kerja utamanya iaitu Mengutip, Mengagih dan Mentadbir Dana Zakat, Wakaf dan Baitulmal.

Kenapa Tabung Baitulmal Sarawak tidak menyediakan kediaman untuk golongan ibu tunggal atau fakir miskin?

Berdasarkan kepada keutamaan bantuan pada masa ini, Tabung Baitulmal Sarawak lebih memberi keutamaan untuk Bantuan Pendidikan mengikut keupayaan kutipan semasa. Oleh itu, ia lebih berperanan untuk menyokong bagi mana-mana golongan ibu tunggal atau fakir/miskin yang memerlukan perhatian agensi-agensi kerajaan yang mempunyai bantuan sedemikian.

Tabung Baitulmal Sarawak sepatutnya bertindak segera jika berlakunya keperluan kebajikan dan bantuan dikalangan umat Islam. Kami dapati bila orang lain termasuk NGO bukan Islam sudah bertindak baru Tabung Baitulmal Sarawak ikut serta?

Keupayaan untuk bertindak siapa cepat ia membantu adalah menjadi tanggungjawab semua. Mengikut rekod dan pengalaman Tabung Baitulmal Sarawak, pihak kami sentiasa berusaha untuk memastikan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak datang pada masa ia diperlukan. Ini terbukti apabila setiap pejabat cawangan dibekalkan dengan peruntukan Dana Kebajikan bagi mempercepatkan proses bantuan.

Kami sering mendengar masih ramai di kalangan masyarakat Islam tidak mengetahui tentang bantuan dan peranan Tabung Baitulmal Sarawak untuk membantu mereka?

Makluman tentang apakah bantuan dan peranan yang boleh dimainkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak memang sudah menjadi kebiasaan kami untuk memanjangkannya kepada masyarakat Islam melalui beberapa saluran. Walau bagaimanapun, usaha untuk memanjangkan perkara ini hendaklah menjadi tanggungjawab kita bersama supaya masyarakat Islam yang berada di setiap pelusuk negeri Sarawak tidak terpinggir daripada hal ini.

Didapati pejabat cawangan Tabung Baitulmal Sarawak tidak mempunyai pegawai yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat itu?

Pendekatan pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak bagi mengurangkan kos operasinya dengan perkembangan proses melalui teknologi maklumat terkini tidak menuntut untuk mempunyai bilangan pekerja yang banyak.

Sejauh manakah publisiti ataupun informasi yang disebarkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak bagi mengetengahkan kewujudan dan peranannya?

Tabung Baitulmal Sarawak telah mengambil beberapa pendekatan dalam menyebarkan informasi berhubung kewujudan dan peranannya kepada masyarakat Islam. Antara pendekatannya adalah perlantikan para Amilin Zakat Fitrah di kampung-kampung, kursus-kursus yang melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau serta Ketua-ketua Masyarakat. Selain itu, pengunaan penyebaran melalui saluran sebaran am yang memudahkan masyarakat Islam mendapat maklumat mengenai Tabung Baitulmal Sarawak seperti penulisan artikel mingguan yang dikenali sebagai Rakan Zakat Anda oleh Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Laman Web, pengeluaran majalah Al-Mal, Facebook dan media massa.

Apakah perbezaan dan persamaan antara Tabung Baitulmal Sarawak dan Jabatan Kebajikan dari agensi kerajaan?

Perbezaan antara Jabatan Kebajikan dari agensi kerajaan dengan Tabung Baitulmal Sarawak adalah merupakan agen pelengkap kepada bantuan-bantuan yang telah disediakan oleh agensi atau jabatan kebajikan kerajaan. Selain itu, bantuan yang telah disediakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak adalah dari sumber pembayaran zakat yang telah ditunaikan oleh masyarakat Islam. Sementara agensi kebajikan kerajaan yang lain  memperolehi sumber peruntukan dan pembiayaan dari pihak kerajaan.

Apakah tujuan penubuhan Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak dan hubungannya dengan Tabung Baitulmal Sarawak?

Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPPMIS) merupakan sebuah unit pendidikan baru di bawah naungan Majlis Islam Sarawak. Ia ditubuhkan berdasarkan kepada Bengkel Bina Upaya Ummah 2007 dan bertujuan sebagai badan yang menyelaras program pendidikan masyarakat Islam, menjadi saluran jaringan penyimpanan data dan perkhidmatan penganjuran program pembangunan sosio budaya. Sebagai maklumat lanjut sila layari laman web di alamat www.bppmis.com. Sementara sumber kewangan biro ini adalah dari Dana Tabung Baitulmal Sarawak.

Berapakah jumlah kutipan Sumbangan Wajib serta Zakat yang telah diterima oleh Tabung Baitulmal Sarawak sehingga sekarang dan mengikut pengamatan saya tiada banyak bantuan kemasyarakatan yang boleh dilihat kecuali 2-3 tahun kebelakangan ini itu pun masih belum menonjol. Dapatkah Tabung Baitulmal Sarawak membuat penyata serta bilangan mereka yang dibantu untuk dimaklumkan kepada masyarakat Islam amnya dan khasnya kepada pembayar serta penyumbang Tabung Baitulmal Sarawak?

Antara peranan atau fungsi utama Tabung Baitulmal Sarawak ialah mengutip, mengagih dan mentadbir dana-dana yang dikumpul hasil daripada zakat, derma, sumbangan wajib, sewa dan lain-lain. Disamping mengutip, Tabung Baitulmal Sarawak juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan sebagai sumber pembiayaan utama bagi matlamat-matlamat kebajikan dan pembangunan ummah.

Program bantuan atau agihan dana Tabung Baitulmal Sarawak terbahagi kepada 3 program utama iaitu:

1. Program mengukuh Tradisi Keilmuan

2. Program memantap Kebajikan Ummah

3. Program Membangun Institusi Islam

Ingin ditegaskan bahawa Tabung Baitulmal Sarawak hanya mengagihkan wang zakat setelah syarat-syarat bantuan dipenuhi khususnya kehendak hukum dengan jelas dinyatakan bahawa wang zakat hanya untuk lapan asnaf sebagai mana dinyatakan dalam surah At-Taubah, ayat 60.

Segala maklumat berhubung dengan kutipan, agihan, aktiviti-aktiviti Tabung Baitulmal Sarawak boleh  didapati dengan pelbagai cara seperti melalui internet, Zakat Information Centre (ZIC), risalah brosur dan lain-lain. Di samping itu, kita juga sering mengadakan ceramah, taklimat, kursus dan lain-lain sebagai usaha untuk menerangkan kepada masyarakat tentang peranan Tabung Baitulmal Sarawak.

WANG TIDAK PATUH SYARIAH

 

DEFINISI


Wang tidak patuh syariah menurut pandangan Imam Al-Syafie merangkumi lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

Sementara para fuqaha’ mutakhir pula mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperoleh melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.


DALIL WANG TIDAK PATUH SYARIAH


Islam menuntut umatnya agar mengambil berat  dalam memastikan usaha memperolehi rezeki atau harta hendaklah melalui sumber yang halal.

Firman ALLAH S.W.T

 

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah: Ayat 188)

Dalam ayat yang lain Allah S.W.T berfirman:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Yang bermaksud: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah Al-Baqarah: 275)


FATWA WANG TIDAK PATUH SYARIAH


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali Ke-87, bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah menyatakan iaitu:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperoleh dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

                            i.            Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

                           ii.            Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

                     iii.            Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.


Dengan keterangan di atas, jelas bahawa wang tidak patuh syariah ini hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Bagi negeri Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak selaku agensi yang diamanahkan dalam hal ini ada menyediakan kemudahan pembayaran secara atas talian ataupun kaunter perkhidmatan di mana-mana pejabat Tabung Baitulmal Sarawak yang berdekatan.

 

Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.