Hukum dan Dasar

Dalil Al-Quran

Antara ayat-ayat al-Quran yang menerangkan tentang wajibnya zakat itu ialah:

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan mendoalah untuk mereka” (at-Taubah: 103)

“Dan dirikan sembahyang dan keluarkan zakat serta taatlah kepada Rasul, supaya kamu beroleh rahmat” (an-Nur: 56).
Hubungan zakat dengan sembahyang cukup erat sehingga menjadi dua jenis ibadat yang saling berkaitan di antara satu sama lain. Allah menegaskan tentang perkara ini lebih daripada 82 kali dalam al-Quran secara beriring-iringan dengan sembahyang. Ini menunjukkan betapa eratnya hubungan antara kedua ibadat itu dalam hal pahalanya; yang pertama sembahyang, seutama-utama ibadat badaniah dan kedua zakat, seutama-utama ibadat maliyah.

Dalil Al-Hadis

Banyak hadis yang menggambarkan tentang kewajipan berzakat ini, antaranya hadis riwayat Muslim yang bermaksud:
“Dari Ibn. Umar r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar, iaitu mengucap dua kalimat syahadat bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah”.

Kemudian Rasulullah menegaskan lagi melalui perintahnya terhadap Muaz bin Jabal, ketika dilantik sebagai Qhadi di negeri Yaman. Sabda Nabi yang bermaksud:
“Sampaikanlah bahawa Allah S.W.T telah mewajibkan zakat pada harta benda mereka yang dipungut dari orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka”. (H.R. Bukhari)

Dan apabila seorang lelaki meminta pendapat Rasulullah s.a.w. tentang zakat harta yang dikeluarkan, Baginda menjawab yang bermaksud:
“Siapa yang membayar zakat hartanya bererti hilanglah kejelekannya”.

Dalil Ijma’

Para ulama dan umat Islam seluruhnya telah bersepakat tentang kewajipan berzakat. Mereka bersandarkan kepada keterangan dari al-Kitab dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengingkari ketetapan ini dianggap melanggar rukun Islam.

Rasulullah s.a.w menetapkan sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Aku telah diperintahkan memerangi manusia sampai mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah, mendirikan solat dan membayar zakat. Seandainya mereka telah memenuhi yang demikian itu, bererti mereka telah memelihara darah dan harta mereka dariku, kecuali apabila melanggar peraturan Islam, dan perhitungannya terserahlah kepada Allah”.

Sejarah memberitahu kita bahawa rukun Islam pertama yang sempat bergoncang sejurus selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. ialah zakat. Orang ramai di zaman sahabat ketika itu masih kukuh mempertahankan institusi syahadat, solat, puasa maupun haji. Tetapi mereka enggan menunaikan zakat. Alhamdulillah, Khalifah pertama Abu Bakar telah berjuang memerangi siapa sahaja yang enggan menunaikan zakat. Dengan gagah berani dia menghayunkan pedangnya seraya bertempik “Ayanqusud diinu wa ana hayy” (Tidak mungkin agama berkurang sedangkan saya masih hidup). Seandainya Abu Bakar yang berhati lembut itu tidak mapan pendiriannya pada saat itu, maka pada saat ini perkataan zakat mungkin hanya kita temukan dalam buku sejarah.

Jika demikian hakikat zakat di dalam Islam, maka tidak harus wujud sebarang bentuk halangan pada perlaksanaan zakat di negara ini melainkan kejahilan dan ketidaksungguhan kita sebagai insan yang daif.


Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.