Pendapatan

ZAKAT PENDAPATAN - Melalui Potongan Gaji (ZPG)

MUKADIMAH

Adalah menjadi tanggungjawab Umat Islam menunaikan kewajipan mereka membayar zakat sama ada Zakat Fitrah mahpun Zakat Harta apabila syarat-syaratnya telah pun mencukupi. Rukun Islam yang Ketiga ini seharusnya diambil berat oleh setiap individu Muslim, dan ia tidak boleh dianggap ringan oleh Umat Islam terutama mereka yang diberi Allah S.W.T rezeki yang banyak dan berada dalam serba kemewahan hidup.

Islam sentiasa menitikberatkan tentang memudahkan perkara dan tidak mahu menyulitkan manusia dalam urusan seharian khususnya dalam melaksanakan urusan agama. Semua hukum Islam adalah mudah bagi mereka yang benar-benar beriman.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya".

Umat Islam juga diingatkan supaya tidak memberatkan sesuatu perkara malah haruslah dipermudahkan.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

"Permudahkanlah dan jangan menyukarkan, berilah khabar gembira dan janganlah memberikan khabar yang menyusahkan hati".
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam menunaikan kewajipan berzakat ini, umat Islam digalakkan menyegerakan pembayarannya malah dibolehkan mengeluarkan zakat walaupun belum cukup setahun berdasarkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu daud dari Ali r.a katanya:

"Sesungguhnya Abbas meminta kepada Rasulullah izin mengeluarkan zakat sebelum masanya maka Rasulullah mengizinkan Abbas berbuat demikian itu."

Berdasarkan hakikat ini, Tabung Baitulmal Sarawak (Majlis Islam Sarawak) telah mengambil satu inisiatif bagi memudahkan Umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat dengan memperkenalkan satu skim yang dinamakan Skim Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji (ZPG).

DALIL WAJIB ZAKAT PENDAPATAN

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Keluarkanlah (zakat) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu". (Surah Al-Baqarah:267)

Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan segala hasil usaha yang baik-baik wajib dizakatkan, dan bagi mereka yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu "profesion" maka ia juga termasuk sebagai "hasil usaha" meliputi semua harta dalam konsepnya yang menyeluruh yang dihasilkan oleh kegiatan manusia. Jika dilihat dari satu sudut golongan pesawah padi, dikenakan 5-10% daripada hasil usaha mereka, apakah golongan yang "makan gaji" tidak perlu dikenakan zakat sedangkan rata-rata mereka mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada pesawah padi. Apakah hanya golongan petani sahaja yang perlu membayar zakat atas hasil usaha mereka? Sedangkan zakat itu wajib dikenakan kepada setiap "hasil usaha yang baik-baik". Bukankah pekerjaan "makan gaji" itu adalah hasil usaha yang baik-baik dan perolehannya lebih lumayan daripada pesawah padi? Sampai bilakah harus kita bergantung kepada petani untuk membayar zakat ke atas hasil pendapatan?

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

OBJEKTIF ZAKAT PENDAPATAN MELALUI POTONGAN GAJI

Skim ini diperkenalkan bagi memberi kemudahan kepada kakitangan kerajaan dan swasta yang beragama Islam menunaikan tanggungjawab mereka membayar zakat tanpa merasa sebarang bebanan.

Menerusi Skim Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji ini, pembayar hanya perlu memberikan arahan kepada pihak majikan untuk memotong sebahagian kecil gaji pada setiap bulan sebagai bayaran zakat. Pihak majikan hanya perlu merujuk kepada Borang Arahan Potongan yang ditandatangani oleh pekerja bagi mengetahui jumlah gaji yang harus dipotong untuk bayaran zakat.

 KEISTIMEWAAN SKIM ZAKAT PENDAPATAN MELALUI POTONGAN GAJI

Kelebihan yang akan diperolehi dengan menyertai skim ini dapatlah diringkaskan seperti berikut:

* Menyempurnakan Rukun Islam
* Membayar secara beransur-ansur dan sungguh memudahkan
* Mendapat rebat Cukai Pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri
* Mengelak daripada terlupa atau terlalai menunaikan Zakat Pendapatan
* Pendapatan bersih, berkat, suci dan subur - Insya Allah.

PENGIRAAN ZAKAT

Terdapat dua (2) cara atau kaedah untuk mengira Zakat Pendapatan:

Kaedah Pendapatan Kasar

2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (kalau pendapatan tersebut tidak kurang daripada nisab).

Kaedah Pendapatan Bersih
Atas pendapatan layak dizakat setahun (kalau pendapatan tersebut tidak kurang daripada nisab). Pendapatan layak dizakat setahun ialah pendapatan dari semua sumber setahun tolak perbelanjaan untuk perkara-perkara asasi setahun.

Sebelum membuat pengiraan zakat, adalah wajar kita memahami duhulu apakah yang dimaksudkan dengan sumber pendapatan. Sumber pendapatan merangkumi:

*Pendapatan Penggajian

Ia terdiri daripada Gaji dan Upah, Tunggakan, Elaun-elaun, Bonus/Komisyen dan lain-lain Pendapatan.

*Pendapatan Profesional

Pendapatan profesional diperolehi melalui Khidmat Guaman, Khidmat nasihat Perniagaan, Khidmat Agen, Khidmat Perubatan, Khidmat Arkitek/Jurutera, Khidmat Kepakaran dan lain-lain khidmat yang menghasilkan pendapatan.

*Perolehan

Perolehan bermaksud pendapatan yang dihasilkan daripada pemilikan harta seperti hasil Kebun/Ladang, Hasil Rumah Sewa, hasil pajak Tanah dan lain-lain perolehan.

Contoh Pengiraan: Menggunakan Kaedah Pendapatan Kasar

Jumlah Pendapatan Sebulan RM 500.00
Jumlah Pendapatan Setahun RM 6,000.00 (RM 500 x 12 bulan)
Jumlah RM 6,000.00 ini adalah mencukupi kadar nisab (purata kadar nisab mengikut nilai 85 gram emas - sekitar RM 3,000.00)
Zakat yang wajib dibayar ialah RM 150.00 (RM 6,000.00 x 2.5%) untuk tahun tersebut.
Jumlah potongan sebulan ialah RM 13.00 (RM 150.00 dibahagi 12 bulan = RM 12.50. Adalah lebih wajar digenapkan kepada RM 13.00)

Contoh Pengiraan: Menggunakan Kaedah Pendapatan Bersih

Jumlah Pendapatan setahun ditolak jumlah perbelanjaan keperluan asasi hidup setahun.
Bakinya jika melebih kadar nisab (purata kadar nisab mengikut nilai 85 gram emas - sekitar RM 3,000.00), maka pendapatan bersih atau baki tersebut layak dikenakan zakat pada kadar 2.5%.

Perbelanjaan Keperluan Asasi hidup adalah perbelanjaan asas bagi tujuan kos perlindungan, makanan/minuman, pendidikan anak, sumbangan kepada ibu/bapa, kos kesihatan, belanja pengangkutan, dan potongan-potongan statutori seperti KWSP, Baitulmal. Caruman bulanan kepada institusi/organisasi yang ada membayar zakat seperti Tabung Haji boleh juga ditolak dalam pengiraan zakat pendapatan.

Kaedah Pengiraan Berdasarkan Pendapatan Bersih
A.PENDAPATAN DARI SEMUA SUMBER (SETAHUN)
Pendapatan Penggajian (Gaji/Elaun/Bonus)
Pendapatan Profesional (Pelbagai Khidmat)
Pendapatan Perolehan (Hasil sewa dan lain-lain)
Jumlah Pendapatan

B. PERBELANJAAN KEPERLUAN ASASI HIDUP (SETAHUN)
*Rujuk Jadual Had Al-Kifayah untuk anggaran paling minima
Perlindungan (Bayaran sewa/ansuran rumah)
Makanan & Minuman
Pendidikan (Tanggungan)
Pakaian (Diri dan Tanggungan)
Kesihatan (Diri dan Tanggungan)
Pengangkutan (Bayaran ansuran pinjaman)
Jumlah Perbelanjaan Asasi Hidup

C. POTONGAN LAIN
Caruman KWSP (Diri)
Caruman Tabung Haji
Sumbangan/Pemberian kepada Ibu Bapa
Sumbangan Baitulmal/ Sumbangan Statutori yang lain
Jumlah Potongan Lain

D. PENDAPATAN BERSIH YANG LAYAK ZAKAT (A-B-C)
i. Jumlah A - Jumlah B - Jumlah C = Jumlah D
ii. Nilai D melebihi paras nisab maka layak zakat

E. ZAKAT YANG WAJIB DIBAYAR (D X 2.5%)
Jumlah D x 2.5% / 12 bulan = Potongan Zakat sebulan. Dalam penentuan perbelanjaan asasi hidup, Tabung Baitulmal Sarawak hanya menyediakan garis panduan sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab individu Muslim untuk menentukan atau membuat taksiran sendiri tentang kos perbelanjaan asasi hidup secara ikhlas dan redha. Sekiranya sukar untuk membuat taksiran sendiri tentang kos perbelanjaan asasi hidup, maka digariskan disebelah Jadual Had Al-Kifayah sebagai rujukan. Had Al-Kifayah adalah keperluan perbelanjaan asasi hidup yang paling minima bagi sesebuah keluarga untuk sebulan.

Seperti contoh, seorang pembayar zakat mempunyai keluarga anak lima, maka perbelanjaan asasi minima bagi keluarga tersebut mengikut Jadual Al-Kifayah ialah RM 14,400 setahun (RM 1,200 x 12 bulan)

RUJUK JADUAL HAD AL-KIFAYAH DAN PENENTUANNYA

Bagi memudahkan pembayaran Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji Bulanan baik secara kaedah pendapatan kasar mahupun kaedah pendapatan bersih, pembayar zakat dinasihatkan untuk membayar pada kadar potongan mengikut angka genap seperti dalam Jadual di bawah:

AKTA CUKAI PENDAPATAN

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, terdapat peruntukan bahawa setiap mereka yang membayar 'ZAKAT' boleh dikecualikan atau mendapat pelepasan kadar tersebut daripada membayar Cukai Pendapatan. Ini dapat dilihat di dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A(3). Untuk mendapatkan pengecualian tersebut, setiap mereka yang telah membayar zakat perlu membuktikan pembayarannya dengan resit yang telah dikeluarkan oleh pihak yang diberi kuasa untuk memungut zakat.

Dalam hal ini, resit atau penyata akuan penerimaan zakat yang dikeluarkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak merupakan dokumen yang sah bagi maksud tuntutan rebat/pelepasan cukai ini.

Jadual Potongan Cukai Berjadual daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dikeluarkan mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1hb Januari 2001 berkenaan dengan Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan dari Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001 ada menyatakan bahawa:

Dimana seorang pekerja telah membayar zakat kepada pihak berkuasa zakat, majikan boleh membuat penyesuaian kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut.

Contoh 1 : PCB bagi Januari 2001

Zakat dibayar: RM 55PCB patut dipotong: RM 95
PCB perlu dipotong : RM 40 (RM 95 - RM 55)

Contoh 2 : PCB bagi Mei 2004

Zakat dibayar: RM 85PCB patut dipotong: RM 55
PCB perlu dipotong : TIADA

Lebihan zakat RM 35 dalam Contoh 2 di atas boleh dibawa ke hadapan untuk ditolak daripada PCB bagi bulan berikutnya. Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa pelarasan sedemikian hanya boleh dibuat pada tahun yang sama sahaja.

CARA PEMBAYARAN ZAKAT PENDAPATAN

Bayaran Tunai - kaunter Ibu Pejabat dan pejabat-pejabat Tabung Baitulmal Sarawak.
Cek (berpalang)/ Kiriman Wang/ Wang Pos atas nama "Tabung Baitulmal Sarawak".
Untuk memberi kemudahan kepada umat Islam berzakat melalui potongan gaji, adalah wajar untuk mengambil tindakan berikut:

1) Mengira zakat yang wajib dikeluarkan (rujuk panduan taksiran yang berkenaan atau hubungi Tabung Baitulmal Sarawak).

2) Berhubung dengan majikan (Bahagian Gaji) sama ada terdapatnya potongan gaji yang telah disediakan.

3) Mendapat Borang Arahan Potongan Gaji - BM 36 (2 salinan) daripada Tabung Baitulmal Sarawak atau majikan.

4) Mengembalikan Borang Arahan Potongan Gaji - BM 36 yang telah diisi kepada majikan untuk pengesahan dan pemprosesan.

Potongan akan mula dibuat sehingga pemohon memaklumkan bagi tujuan penambahan, pengurangan atau pemberhentian kerja atau pertukaran alamat.

Penyata Rasmi bagi hujung tahun (Januari hingga Disember) akan dihantar oleh tabung Baitulmal Sarawak kepada pembayar atau melalui majikan masing-masing.
Penyata Rasmi pembayaran Zakat ini perlu disimpan dan boleh digunakan bagi mendapatkan rebat (tolakan) cukai pendapatan individu.


Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.