Menjaga dan memelihara Harta Wakaf bukan sesuatu yang mudah. Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebaik yang mungkin. Adapun Harta Wakaf diletakkan dibawah nama Majlis Islam Sarawak adalah kerana naungannya dari segi perundangan. Merujuk kepada Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 Seksyen 58(1), semua harta wakaf hendaklah didaftarkan kepada Majlis Islam Sarawak yang menjadi “Pemegang Amanah Tunggal” bagi semua Masjid, Surau, Sekolah Agama dan tanah perkuburan orang Islam. Ini bagi menjamin perlindungan dan pengawasan ke atas ain wakaf itu terpelihara dan terbela serta pengurusan dapat diseragamkan dengan sewajarnya.
Sementara Tabung Baitulmal Sarawak berperanan sebagai Pendaftar Wakaf dimana setiap harta yang hendak diwakaf mestilah terlebih dahulu didaftarkan secara rasmi di Tabung Baitulmal Sarawak. Dengan pendekatan ini, maka pengawalan dan perekodan harta-harta dapat diselenggarakan dengan baik dan bersistematik.