Zakat

soal jawab ....


Ada dikalangan masyarakat Islam bertanya mengapa kadar fitrah berbeza dari tahun ke tahun. Apakah asas penentuan kadarnya?

Asas penentuan kadar fitrah mengikut paras harga beras bagi satu gantung Baghdad bersamaan 2 kilo 700 gram. Harga beras akan berubah dari masa kesemasa dan ianya diluar kawalan Tabung Baitulmal Sarawak. Secara pentadbirannya, Pejabat Mufti Negeri Sarawak yang membuat penentuan kadar fitrah setelah mengambilkira harga beras di pasaran dan faktor-faktor lain.

Seorang hartawan banyak bersedekah tetapi tidak membayar zakat. Adakah terlepas kewajipan berzakat ?

Sedekah dan zakat adalah dua perkara yang berbeza. Sedekah adalah amalan sunat yang tidak diwajibkan. Ia cuma digalakkan bagi sesiapa yang mampu untuk berbuat demikian (bersedekah). Jika dikerjakan amalan sedekah itu, maka seseorang itu akan memperolehi pahala dan tidak berdosa jika tidak mengeluarkannya. Zakat pula adalah salah satu tuntutan agama yang diwajibkan ke atas setiap individu yang telah cukup syarat-syaratnya. Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga. Oleh itu, sesiapa yang telah memenuhi syarat-syarat wajib zakat tetapi menahan diri atau sengaja tidak mahu mengeluarkan zakatnya, maka dia adalah berdosa.

Dengan amalan bersedekah tidak akan dapat menggugurkan kewajipan zakat ke atas  seseorang individu.

Tahun manakah yang diiktiraf untuk mengira haul zakat? Adakah Hijrah atau Masihi?

Tahun Hijrah atau tahun Masihi bukan menjadi persoalannya. Apa yang penting ialah cukup haul (tempoh setahun). Kalau kita memiliki sesuatu harta yang telah cukup nisabnya mulai 1 Januari 2003, maka zakat mesti dibayar pada 1 Januari 2004 (jika nisabnya masih kekal). Begitu jugalah jika kita memiliki sesuatu harta yang telah cukup nisabnya mulai 1 Ramadhan 1424H, maka zakat wajib dikeluarkan pada 1 Ramadhan 1425H.

Samada kita menggunakan tahun Hijrah atau Masihi, itu tidak penting. Jangan sampai zakat tidak dikeluarkan hanya kerana perselisihan dalam menetapkan tahun mana yang diiktiraf dalam Islam. Apa yang lebih penting ialah mengeluarkan zakat setelah cukup nisabnya samada mengira haul berdasarkan tahun Hijrah mahupun tahun Masihi. Janganlah ditangguhkan kefarduan menunaikan zakat hanya kerana perselisihan tahun.

Jika seseorang itu menerima duit dengan jumlah yang agak besar, contohnya melalui duit hadiah peraduan, pampasan, perubatan dan sebagainya, adakah ia wajib dizakat?

Penentuan pembayaran zakat hendaklah dilihat terlebih dahulu sumber harta tersebut. Wajib zakat jika sumbernya halal dan tidak wajib jika sebaliknya .

Bolehkah dijelaskan kenapa semua pegawai Tabung Baitulmal Sarawak dibayar gaji dengan menggunakan wang zakat?

Perlu dijelaskan bahawa antara asnaf atau golongan yang layak diagihkan dana zakat ialah para amilin sebagaimana yang dinyatakan dalam Al Quran, surah At-Taubah ayat 60 Yang bermaksud : “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amilin, para mu'allaf yang dijinakkan hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang terputus dalam perjalanan, (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Para ulama mentafsirkan maksud para amilin dalam ayat ini ialah para pegawai yang telah dilantik dan ditauliahkan oleh pemerintah. Dengan kata lain, perlantikan menjadi amil zakat ini bukan boleh dilakukan secara sebarangan.

Apakah hukum terlupa untuk membayar Zakat Fitrah di bulan puasa dan bagaimanakah caranya untuk saya menebusnya?

Zakat Fitrah perlu dibayar dalam bulan Ramadhan dan waktu terakhir menunaikan Zakat Fitrah ialah sebelum solat Adil Fitri didirikan. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Barangsiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (Aidilfitri), maka itu zakat yang diterima. Dan barangsiapa yang mengeluarkannya sesudah solat (Aidilfitri), maka itu termasuk salah satu sedekah dari sedekah-sedekah biasa”

Sekiranya Zakat Fitrah tidak ditunaikan, baik secara sengaja atau tidak maka hukumnya adalah berdosa dan hendaklah bertaubat. Sekiranya seseorang itu ingin juga hendak membayar ia tidak dapat dianggap sebagai Zakat Fitrah tetapi pembayaran itu hanyalah sebagai sedekah.

Saya sudah mempunyai pendapatan sendiri dan mampu untuk berdikari, walau bagaimanapun, setiap tahun abang sulung saya akan menunaikan Zakat Fitrah untuk saya, adakah itu dibolehkan?

Tidak menjadi masalah bagi seseorang yang berkemampuan dibayar Zakat Fitrahnya oleh orang lain dengan syarat perlulah mendapat keizinan dari orang yang hendak dibayarkan Zakat Fitrah itu terlebih dahulu. Sementara orang yang membayar Zakat Fitrah tersebut akan memperolehi pahala sedekah di atas niatnya itu.

Adakah terdapat nas dalam Al-Quran yang menjelaskan secara terperinci berkaitan dengan Zakat Pendapatan ?

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:

" Wahai orang-orang yang beriman! Keluarkanlah (zakat) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu".

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menjelaskan bahawa hasil usaha yang baik-baik wajib dizakatkan dan bagi mereka yang menjadikan makan gaji sebagai satu profesion maka ia juga termasuk sebagai hasil usaha. Begitu juga Imam al-Razi menegaskan dalam konsep 'hasil usaha', ia meliputi semua harta dalam konsepnya yang menyeluruh yang dihasilkan oleh kegiatan manusia. Jika dilihat dari suatu sudut golongan pesawah padi, dikenakan 5% - IO% dari hasil usaha mereka. Apakah hanya golongan petani sahaja yang perlu membayar zakat, sedangkan zakat itu wajib dikenakan kepada setiap hasil usaha yang baik-baik dan perolehannya lebih lumayan daripada pesawah padi?

Dalam menunaikan kewajipan berzakat ini, umat Islam digalakkan menyegerakan pembayarannya malah dibolehkan mengeluarkan zakat walaupun belum cukup setahun berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Saidina Ali r.a. katanya : "Sesungguhnya Abbas meminta kepada Rasulullah s.a.w keizinan mengeluarkan zakat sebelum masanya, maka Rasulullah s.a.w mengizinkan Abbas berbuat demikian."

Selain daripada golongan fakir dan miskin, apakah zakat boleh diagihkan kepada anak yatim atau ibu tunggal?

Masih terdapat beberapa golongan masyarakat yang prihatin dengan kebajikan masyarakat Islam keliru berhubung dengan golongan yang layak dibantu menggunakan wang zakat. Perlu dibezakan wang sedekah dengan wang zakat. Wang yang datang dari hasil sedekah boleh diagihkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki dan perbuatan ini akan mendapat pahala di sisi Allah s.w.t..

Sementara wang zakat pula tidak boleh diagihkan secara rawak atau sesuka hati. Ini adalah kerana golongan yang layak menerima wang zakat telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.  dalam Al Quran, surah At-Taubah ayat 60 Yang bermaksud : ”Sesungguhnya sedekah itu (iaitu zakat), hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amilin, muallaf yang dijinak hatinya, untuk memerdekakan budak. Orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah, dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

Dari ayat ini jelas menerangkan kategori golongan yang layak menerima wang zakat tanpa mengira anak yatim, ibu tunggal, orang tua, berkahwin dan sebagainya. Sekiranya mereka tergolong dalam golongan fakir atau miskin contohnya, maka mereka layak menerima wang zakat.

Bolehkah saya membayar serta mengagih sendiri wang zakat saya kepada mereka yang berhak dan apakah hukum zakat saya tersebut?

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengan itu engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan (diri) mereka (dari sifat yang keji)." (Surah at-Taubah, ayat 103)

Dalam ayat ini Allah s.w.t., telah mengunakan perkataan yang menunjukkan arahan "Amr" iaitu" Ambillah " yang menerangkan kepada kita perlunya seseorang untuk mengambil zakat dari harta orang yang telah memenuhi syaratnya. Oleh yang demikian, Tabung Baitulmal Sarawak merupakan sebuah institusi Islam yang telah dilantik oleh pemerintah secara rasmi untuk mengutip, mentadbir dan mengagih dana zakat. Pembayaran kepada mereka yang telah dipertanggungjawabkan secara rasmi ini adalah lebih afdal daripada individu itu sendiri yang mengagihkannya kerana pemerintah atau raja adalah lebih mengetahui tentang hal ehwal asnaf yang layak dan lebih berkuasa dan berdaya menyama ratakan agihan jika dibandingkan dengan pemilik harta itu sendiri. Yakinlah, bahawa apabila seseorang telah membayar zakat kepada pemerintah, maka dia telah terlepas daripada kewajipan dan selebihnya adalah dipertanggungjawabkan kepada amil atau pemerintah sama ada dari segi pengagihannya mahupun pentadbiran harta zakat itu sendiri. Selagi mana pemerintah (ulil amr) mengajak ke arah kebaikan maka wajiblah bagi rakyat mentaatinya. Begitulah persoalan yang berhubung dengan  kefardhuan berzakat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t..

Saya baru memeluk agama Islam, adakah saya layak untuk mendapat wang zakat dari Asnaf Muallaf?

Muallaf adalah antara salah satu golongan yang berhak mendapat wang zakat khususnya mereka yang baru memeluk agama Islam dan di putus hubungan oleh keluarga serta kesempitan dari segi kewangan.  Maksud Muallaf di sini ialah orang yang baru memeluk Islam dan belum kuat imannya. Jiwanya perlu dibina dengan dipupuk keimanan ke dalam jiwanya hingga dia menjadi seorang Muslim dan mukmin yang hakiki.

Sirah banyak menceritakan bagaimana golongan yang terdahulu memeluk Islam semata-mata kerana iman sehingga sanggup berkorban apa saja termasuk harta benda demi menegakkan Islam itu sendiri. Sejarah ini berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan begitu juga dizaman para sahabat, para tabi’in dan para tabi' at-tabi'in sehingga sebahagian daripada mereka menjadi khalifah yang amat dikagumi pada zaman itu seperti Saidina Umar al-Khatab, Abu Bakar As-Siddiq, Ali Abi Talib dan lain-lain. Mereka ini asalnya adalah bukan Islam tapi apabila telah memeluk Islam mereka menjadi pembela atau tulang belakang kepada Islam itu sendiri.

Bolehkah pihak Tabung Baitulmal Sarawak memberi penjelasan jenis hutang yang boleh menggunakan wang Zakat melalui asnaf Al Gharimin?

Asas utama bantuan kepada asnaf Al-Gharimin ialah berhutang kerana keperluan mendesak untuk kemaslahatan diri mahupun kemaslahatan ummah yang tidak berlebih-lebihan dan bukan kerana maksiat.

Saya seorang tua yang hidup melarat dan tidak mampu untuk menyara diri sendiri dan saya telah memohon bantuan sara hidup tetapi tidak diluluskan kerana saya mempunyai anak dan tidak layak mendapat bantuan. Bolehkah syarat tersebut dikecualikan kepada saya dengan alasan anak saya tidak dapat menghulur bantuan kepada saya kerana anak tersebut juga dhaif disamping pemabuk dan keluar masuk lokap?

Mengikut dasar bantuan Tabung Baitulmal Sarawak, tuan tidak layak mendapat bantuan sarahidup kerana anak tuan sepatutnya bertanggung jawab dalam hal ini. Islam mewajibkan anak-anak menjaga ibu bapa selagi masih hidup.

Walaubagaimana pun jika berlaku ibubapa yang diabaikan oleh anak-anaknya, Tabung Baitulmal Sarawak akan menyiasat untuk mendapat kesahihan kedudukan tersebut sebelum dapat membantu dalam hal ini.

Dalam hal ini juga, masih terdapat institusi Iain yang turut bertanggungjawab menangani masalah tersebut seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Institusi Kerajaan yang berkenaan dan lain-lain.

Apakah jenis bantuan yang disediakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak kepada mereka yang berhak?

Tabung Baitulmal Sarawak mempunyai Tiga Program Utama Bantuan iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Membangunkan Institusi Islam. Setiap program bantuan ini mempunyai pecahan aktiviti-aktiviti bantuannya yang tersendiri seperti Bantuan Ke Institut Pengajian Tinggi, Bantuan ke Timur Tengah, Bantuan Sarahidup Fakir/Miskin, Bantuan Kecemasan/Bencana Alam (i.e kebakaran) termasuk Bantuan Kelengkapan Asas masjid atau surau dan lain-lain. Hanya mereka yang berhak mengikut hukum syara' dan peraturan serta syarat-syarat sahaja yang layak memohon dan mendapat bantuan Tabung Baitulmal Sarawak.

Adakah Bantuan Kebajikan (makanan asasi) mencapai objektifnya, apabila pemberian barangan tersebut tidak memenuhi kehendak penerima. Contoh; penerima memerlukan susu tepung/milo untuk anaknya tetapi barangan tersebut tidak termasuk dalam kategori makanan asasi ?

Bantuan yang disediakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak di bawah program bantuan kebajikannya dibuat melalui dua kaedah iaitu secara tunai atau barang keperluan makanan asasi. Bantuan ini didapati berkesan pada dasarnya dan  ia dapat memenuhi keperluan asasi pemohon.

Saya seorang pelajar di bawah umur, iaitu 17 tahun dan telah masuk Islam tanpa kebenaran serta mendapat tentangan daripada ibubapa saya. Kesan dari itu, saya telah menghadapi masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Bolehkah saya memohon bantuan dari Tabung Baitulmal Sarawak, memandangkan saya tidak mempunyai dokumen rasmi memeluk Islam?

Dalam kes ini, salah satu syarat bagi tuan untuk mendapatkan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak ialah mesti mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan dengan pengislaman tuan. Memandangkan tiada dokumen rasmi sebagai bukti maka secara pentadbirannya permohonan tuan adalah tidak layak kecuali ada pengesahan daripada pihak berwajib atau yang berkenaan yang mengesahkan tentang pengislaman tuan seperti surat daripada pihak guru besar atau pengetua sekolah atau ketua masyarakat dan sebagainya.

Bolehkah Pendatang Tanpa Izin memohon bantuan dari Tabung Baitulmal Sarawak?

Mengikut dasar Tabung Baitulmal Sarawak, pemohon yang tiada mempunyai dokumen-dokumen pengenalan diri yang sah untuk membuktikan taraf pemastautinnya tidak akan diproses. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes seperti terputus perjalanan (ibnu sabil) maka Laporan Polis adalah memadai dan Tabung Baitulmal Sarawak akan membuat siasatan lanjut sebelum membuat keputusan untuk membantu menghantar pulang mereka ke tempat asal atau ke Pejabat Konsulat Negara masing-masing yang terdekat.

Sekiranya Zakat Wang Simpanan dan Zakat Emas dikeluarkan, kepada siapakah pihak Baitulmal mengagihkan zakat tersebut ?

Mengikut maksud Al Quran, surah At-Taubah, ayat 60 terdapat lapan (8) golongan atau asnaf yang berhak menerima agihan Dana Zakat. Bagi mengaplikasikan bentuk hukum ini dalam realiti semasa, maka Tabung Baitulmal Sarawak telah menyediakan tiga Program Utama iaitu Program Pendidikan, Program Kebajikan dan Program Institusi Islam. Antara program-program bantuan yang telah disediakan ialah Bantuan Ke IPT, Bantuan Pengajian Sekolah Rendah/Menengah, Bantuan Biasiswa/dermasiswa, Bantuan Rawatan/Perubatan, Bantuan Sarahidup Fakir/Miskin, Bantuan Kelengkapan Asas Masjid atau Surau, Bantuan Am bagi Asnaf Muallaf dan lain-lain. Setiap bantuan yang disediakan mempunyai syarat- syaratnya yang tertentu yang perlu dipenuhi sebelum sebarang bantuan dikeluarkan. Syarat utama yang perlu diambil perhatian ialah seseorang pemohon itu hendaklah mereka yang dhaif atau fakir dan miskin. Tabung Baitulmal Sarawak mempunyai kaedah penentuan ini mengikut asas pendapatan sesebuah keluarga. 

Adakah Tabung Baitulmal Sarawak menyediakan atau memberi bantuan kepada Badan/Organisasi 'Saudara Kita' yang mengadakan aktiviti untuk ahli-ahlinya. Jika ada, bagaimanakah cara dan apakah syarat-syaratnya ?

Salah satu bentuk bantuan Tabung Baitulmal Sarawak ialah Bantuan AM bagi Asnaf Muallaf. Objektif bantuan ini diwujudkan adalah untuk membantu badan-badan Urusetia Saudara Kita yang diperakui oleh Majlis Islam Sarawak untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan keagamaan yang dikhususkan untuk saudara-saudara baru dalam negeri Sarawak. Peruntukan ini disediakan dalam bentuk Gran Tahunan.

Mana-mana badan atau urusetia yang ingin mendapatkan bantuan ini hendaklah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu Badan-badan Urusetia Saudara Kita yang diiktiraf oleh Majlis Islam Sarawak dan yang didapati berkemampuan menganjurkan aktiviti dakwah dan keagamaan, berfungsi sebagai pihak atau badan yang prihatin kepada hal ehwal Saudara Kita dan dakwah pada keseluruhannya dan mestilah mengemukakan laporan aktiviti sepanjang tahun atau selepas setiap kali selesai sesuatu aktiviti itu diadakan.

Sebagaimana yang saya ketahui, bantuan kebajikan adalah bagi membantu keluarga/individu yang kurang berkemampuan (fakir/miskin) dalam menyara hidup. Apakah garis panduan untuk memohon bantuan ini ?

Pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak mengamalkan konsep 'Kail dan Ikan'. 'Konsep Kail' memberi pengkhususan dalam bantuan pendidikan dimana kesan jangka panjangnya boleh mengubah corak penghidupan seseorang. Walau bagaimanapun, agihan melalui 'Konsep ikan' pula adalah bantuan yang diberikan kepada mereka yang tidak berupaya dan tidak berkemampuan untuk mencari rezeki selain mengharap belas ihsan jiran-jiran. la lebih bersifat sebagai usaha untuk menampung keperluan yang mendesak bagi tempoh-tempoh tertentu dan kesannya adalah dalam bentuk jangka pendek. Syarat-syarat bagi melayakkan pemohon untuk mendapat bantuan sara hidup ini ialah pemohon hendaklah beragama Islam dan bermastautin di Sarawak, fakir/miskin yang telah disahkan benar-benar dhaif oleh Penghulu Kampung dan diperakui oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak setelah penyiasatan dibuat dengan melihat ciri-ciri fizikal kedhaifan pemohon tersebut dan keutamaan adalah kepada mereka yang uzur dan hidup sebatang kara dengan hanya bergantung hidup dari belas ihsan jiran tetangga.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahawa Tabung Baitulmal Sarawak ada menyediakan bantuan pendidikan. Bolehkah kakitangan awam yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran memohon bantuan seumpama itu ?

Bantuan Pendidikan iaitu Bantuan Ke institut Pengajian Tinggi (IPT) hanya  dikhususkan kepada mereka yang telah mendapat surat tawaran daripada mana-mana Universiti , samada IPTA atau IPTS pada peringkat Matrikulasi, Diploma, Ijazah, atau mana-mana kursus/sijil yang melebihi enam (6) bulan ke atas dan tidak termasuk kakitangan awam. Objektif utama wujudnya skim bantuan ini ialah bertujuan bagi memudahkan pendaftaran di tahun satu semester satu sahaja bagi pelajar yang tergolong dalam asnaf fakir, miskin, yang tiada sumber pendapatan khusus atau tidak berpendapatan tetap.

Jumlah agihan atau pemberian sebanyak RM100.00 seorang adalah terlalu sedikit dan bolehkah jumlah agihan ditambah?

Jumlah RMI00.00 adalah had minima untuk seorang fakir/miskin. Tujuan Tabung Baitulmal Sarawak memperuntukkan agihan Hari Raya Puasa pada kadar tersebut adalah sebagai ihsan untuk meringankan beban atau menampung sedikit keperluan Asnaf Fakir Miskin bersempena menyambut perayaan Aidil Fitri. Penambahan kepada jumlah tersebut tidak memberi kesan yang panjang kerana bantuan ini dikhususkan untuk mengembirakan golongan Fakir dan Miskin sempena hari pertama Aidil Fitri seperti yang dituntut oleh hukum syarak melalui sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Cukupkanlah mereka pada hari itu" , laitu hari pertama sambutan perayaan Aidil Fitri. Mana-mana umat Islam yang tergolong sebagai fakir miskin, Tabung  Baitulmal Sarawak ada menyedia bantuan lain seperti bantuan pendidikan dan bantuan kebajikan yang boleh dipohon di setiap pejabat Tabung Baitulmal Sarawak sepanjang tahun.

Saya sebagai pelajar amat terkilan kerana tidak mengetahui yang Tabung Baitulmal Sarawak ada menyediakan bantuan pendidikan untuk melanjutkan pelajaran ke IPT. Saya baru mengetahuinya setelah masuk ke IPT, itu pun daripada kawan-kawan saya tetapi saya sudah terlambat dan tidak boleh memohon lagi. Bolehkah pihak Tabung Baitulmal Sarawak memaklumkan kepada semua pelajar di sekolah menengah tentang kemudahan ini, sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke IPT?

Salah satu daripada aktiviti bantuan Tabung Baitulmal Sarawak ialah menyediakan Bantuan Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Objektif utama bantuan Tabung Baitulmal Sarawak ini diwujudkan adalah bertujuan untuk membantu memudahkan pendaftaran di Semester Satu Tahun Satu sahaja pada peringkat Matrikulasi, Diploma, ljazah atau mana-mana kursus/sijil yang melebihi enam bulan ke atas sahaja. Untuk mendapat bantuan ini, pemohon mestilah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Segala maklumat yang berkenaan dengan aktiviti bantuan Tabung Baitulmal Sarawak boleh didapati melalui pelbagai kaedah yang telah disediakan oleh TBS. Antaranya ialah melalui laman webs rasmi Tabung Baitulmal Sarawak, risalah, brosur aktiviti-aktiviti penerangan yang telah dibuat, Pusat Maklumat Zakat (ZIC) yang terletak di Satok Parade dan lain-lain. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk mencari jalan bagaimana untuk mendapat maklumat penuh berhubung dengan sesuatu perkara yang ingin diketahui kerana ilmu itu tidak akan datang tanpa adanya usaha.

Saya telah memohon bantuan dari Tabung Baitulmal Sarawak, tetapi sehingga sekarang tiada jawapan secara bertulis sama ada permohonan tersebut diluluskan atau tidak?

Untuk pengetahuan tuan, pada setiap muka hadapan Borang Permohonan yang telah disediakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak telah dinyatakan " permohonan tuan dianggap gagal jika sekiranya tidak menerima sebarang jawapan daripada Tabung Baitulmal Sarawak dalam tempoh sebulan". Ini bermakna tidak menjadi satu kemestian untuk Tabung Baitulmal Sarawak menjawab setiap permohonan samada permohonan tersebut lulus, gagal atau sebaliknya. Walau bagaimanapun sebagai langkah alternatif, Tabung Baitulmal Sarawak akan menghantar poskad kepada setiap pemohon bagi memaklumkan status permohonan mereka atau dinasihatkan untuk menghubungi Tabung Baitulmal Sarawak dalam tempoh 10 hari bekerja bagi mengetahui status permohonan mereka.

Saya adalah seorang pelajar IPT dari Semenanjung Malaysia, bolehkah saya memohon bantuan pendidikan daripada Tabung Baitulmal Sarawak?

Bantuan pendidikan (IPT) hanya dikhususkan kepada pelajar Islam Sarawak atau mereka yang bermastautin di negeri Sarawak sama ada yang menuntut di dalam Negeri mahupun di luar Negeri yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan khususnya untuk membantu mereka mendaftarkan diri di Tahun Satu Semester Satu sahaja pada peringkat Matrikulasi, Diploma, Ijazah maupun mana-mana kursus/sijil yang melebihi enam bulan ke atas.

Saya merupakan seorang pelajar IPT dalam semester 2 dan ingin memohon bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak, namun didapati syarat yang ditetapkan ialah pemohon mestilah belum mendaftar diri ke IPT. Dapatkah pihak Tabung Baitulmal Sarawak melonggarkan syarat tersebut kerana saya datang dari keluarga yang kurang berada dan sehingga sekarang tiada sumber yang dapat membantu?

Objektif Bantuan Pendidikan ke IPT diwujudkan adalah untuk memudahkan pendaftaran bagi pelajar-pelajar Islam Sarawak yang kurang berkemampuan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk mendaftar diri ditahun satu semester satu sahaja. Keadaan ini diwujudkan adalah kerana ramai daripada pelajar Islam Sarawak yang mendapat surat tawaran daripada IPT tetapi tiada modal atau sumber kewangan untuk pergi melaporkan diri sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa menolak tawaran tersebut.

Bagi mereka yang telah berada di IPT, ini bermakna mereka tidak menepati syarat dan objektif bantuan ini.

Apakah makna agihan dari perspektif amalan berzakat?

Agihan merupakan salah satu daripada tanggungjawab pemerintah atau wakilnya seperti Tabung Baitulmal Sarawak dalam urusan zakat. la bermaksud menyerahkan kadar yang tertentu daripada dana zakat yang dikutip daripada pembayar zakat muslim, baik individu mahupun organisasi perniagaan, kepada Asnaf Zakat yang berkenaan. Dasar hukum yang digunakan adalah merujuk kepada surah At-Taubah, ayat 60. Di Tabung Baitulmal Sarawak agihan Dana Zakat ini disalurkan melalui Tiga Program agihannya seperti berikut :

a)      Mengukuhkan Tradisi Keilmuan

b)      Memantapkan Kebajikan Ummah

c)      Membangunkan Institusi Islam

Di bawah setiap program berkenaan, terdapat berbagai-bagai aktiviti agihan yang dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai objektif setiap program tersebut. Dalam era kehidupan manusia yang semakin kompleks ini, institusi dan umat Islam hendaklah menggunakan kaedah yang sesuai dengan keperluan semasa pentadbiran dan pengurusan dana zakat. Ini penting untuk mengelak situasi bila dana berkenaan diagih kepada golongan yang tidak layak dan dengan kadar agihan yang tidak wajar menurut ketentuan hukum syarak. Itulah sebabnya Tabung Baitulmal Sarawak menyusun program dan aktiviti agihannya sedemikian rupa agar dana tersebut benar-benar sampai kepada golongan yang berhak.

Kenapakah terdapatnya beberapa permohonan bantuan digagalkan sedangkan ibubapa mereka merupakan golongan yang telah menunaikan Zakat Pendapatan setiap bulan melalui skim Zakat Potong Gaji (ZPG)?

Zakat merupakan satu kewajipan kepada umat Islam yang telah memenuhi syarat-syarat kelayakan. Ia bukan berkonsepkan seperti wang simpanan atau insuran. Kepentingan ibadah Zakat ini dapat dilihat dalam sabda Rasulullah s.a.w.:

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله وسلم يَقُوْلُ : بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ.

Yang bermaksud : Dari Abdul Rahman, Abdullah bin Umar bin Khattab r.a dia berkata : Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Islam didirikan diatas lima perkara ; Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa Muhammad utusan Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan puasa Ramadhan” (Riwayat Tarmizi dan Muslim)

Adapun kegagalan sesuatu permohonan adalah disebabkan tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan dalam menilai penentuan kelayakan sesebuah keluarga (Had Al-Kifayah). Ini bagi memastikan pengagihan yang dibuat tidak menyalahi kehendak hukum dan dasar yang sedia ada.

Apakah Tabung Baitulmal Sarawak ada menyediakan biasiswa atau pinjaman untuk para pelajar yang hendak melanjutkan pelajaran di IPT?

Tabung Baitulmal Sarawak secara umumnya ada menyediakan bantuan kepada golongan fakir miskin yang mendapat tempat melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Bantuan ini berbentuk one-off sebagai meringankan bebanan mereka dalam membuat persiapan kemasukan ke IPT.

Turut disediakan juga adalah biasiswa pendidikan di bawah tajaan Dana Ibnu Khaldun. Biasiswa ini bermatlamat untuk melahirkan golongan yang mendalami dua bidang pengajian iaitu bidang keagamaan dan bidang profesional. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman webs Tabung Baitulmal Sarawak dialamat www.tbs.org.my.

Kenapakah Tabung Baitulmal Sarawak lebih menyediakan bantuan kepada pengajian dalam bidang agama berbanding dengan pengajian dalam bidang profesional sedangkan kedua-dua bidang tersebut merupakan satu alur dalam bidang keilmuan?

Tabung Baitulmal Sarawak menyediakan bantuan pendidikan kepada semua bidang pengajian dipusat pengajian tinggi. Bantuan yang disediakan ini adalah sebagai membantu meringankan bebanan kewangan para pelajar yang berjaya memasuki pusat pengajian tinggi dan memenuhi syarat kelayakan yang telah disediakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak. Bantuan yang disediakan adalah berbentuk one-off.

Sementara dalam bidang pengajian agama, bantuan adalah berbentuk tahunan dengan syarat pemohon mestilah menyertakan slip keputusan pengajian semasa. Bantuan yang disediakan ini adalah sebagai galakan untuk menambah golongan para agamawan dikalangan masyarakat tempatan.

Bagaimanakah Tabung Baitulmal Sarawak mengagihkan bantuan kepada golongan muallaf?

Tabung Baitulmal Sarawak ada menyediakan bantuan kepada asnaf muallaf. Ini adalah kerana ianya merupakan golongan yang berhak untuk diagihkan dengan wang zakat. Walau bagaimanapun, tafsiran para ulama berhubung dengan maksud Muallaf dalam surah At-Taubah ayat 60 perlulah difahami dengan baik. Tafsiran para ulama dengan asnaf muallaf adalah golongan yang imannya masih ragu-ragu dengan kebenaran Islam dan perlu dijinakkan dan dimantapkan imannya.

Golongan yang memeluk agama Islam dan mantap imannya perlu dilihat sebagai golongan orang Islam bukan lagi sebagai muallaf. Maka tidak perlu wujudnya saudara baru dan saudara lama.

Dalam memastikan keberkesanan bantuan yang disalurkan kepada asnaf ini, Tabung Baitulmal Sarawak menyediakan bantuan kepada badan yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan mendidik golongan muallaf ini. Melalui kaedah ini, para muallaf akan mendapat perhatian yang sewajarnya dan keimanan mereka akan dapat ditingkatkan melalui pendidikan yang telah disediakan.

Dalam menyediakan bantuan kepada golongan yang berhak mengapakah masih terdapat ketidak seimbangan dimana didapati sesetengah orang yang berpendapatan besar dapat menerima bantuan sedangkan yang berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan?

Terdapat tiga kemungkinan yang dapat dilihat berlakunya senario di atas. Pertama adalah terdapat golongan yang tidak jujur dalam mengisytiharkan pendapatan melalui penyerahan borang permohonan dan dokumen sokongan. Perkara ini sering terjadi di mana-mana agensi kebajikan kerajaan yang lain. Di Tabung Baitulmal Sarawak, setiap borang permohonan akan melalui proses semakan sebelum proses pertimbangan dan keputusan. Sebarang dokumen yang mengelirukan akan dibuat siasatan lanjutan bagi memastikan kebenaran maklumat yang diberi. Pemohon atau ibubapa pemohon akan dipanggil untuk mendapat keterangan lanjut.

Kedua adalah permohonan bantuan bagi bidang pengajian agama, sama ada dalam negara atau luar negara. Bantuan yang diberikan kepada para pelajar adalah sebagai satu galakan untuk meneruskan dan menamatkan pengajian dalam bidang agama. Sementara kadar yang disediakan adalah berbeza dengan mengambil kira jumlah pendapatan keluarga.

Ketiga pemohon datang daripada keluarga yang banyak tanggungan sehingga pendapatan yang dianggap besar itu tidak mencukupi apabila dibandingkan dengan keperluan had al-kifayah untuk menentukan kelayakan.

Bagaimanakah Tabung Baitulmal Sarawak hendak memastikan kesesuaian produk bantuan yang sedia ada dengan keperluan semasa?

Berdasarkan kepada keterhadan kutipan zakat pada masa ini, Tabung Baitulmal Sarawak hanya mampu untuk memberi keutamaan agihan zakatnya bagi program pendidikan, kebajikan dan pembangunan institusi Islam.

Bantuan-bantuan ini berdasarkan kepada kelaziman permohonan daripada masyarakat Islam dimana ia membantu meringankan bebanan kewangan para pemohon.

 

Apakah Tabung Baitulmal Sarawak ada menyediakan bantuan dalam bentuk sistem Ar-Rahnu?

Buat masa ini, Tabung Baitulmal Sarawak belum menyediakan produk bantuan dalam bentuk sistem Ar-Rahnu. Bantuan yang disediakan lebih difokuskan kepada pendidikan, kebajikan dan pembangunan institusi Islam.

Perkhidmatan ar-rahnu boleh didapati daripada rangkaian Bank Rakyat dan Bank Islam.

Apakah Tabung Baitulmal Sarawak ada membuat siasatan lanjut bagi memastikan orang yang memohon itu benar-benar layak dibantu seperti penyelidikan dari rumah ke rumah ataupun hanya sekadar mendapat butiran penduduk dari Ketua masyarakat sahaja?

Pendekatan Tabung Baitulmal Sarawak dalam menentukan kesahihan suatu permohonan dibuat melalui dua kaedah iaitu melalui pengesahan dokuman dan penyiasatan jika perlu. Dalam erti kata lain, dua kaedah ini boleh mempercepatkan proses mengagih bantuan kepada mereka yang layak dan berhak.

Adakah Tabung Baitulmal Sarawak menyediakan bantuan rawatan kritikal seperti hemodialisis, atau rawatan yang memerlukan kos pembedahan yang tinggi?

Secara umumnya antara produk bantuan yang disediakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak ialah Bantuan Rawatan. Bantuan ini bertujuan untuk meringankan bebanan golongan fakir dan miskin yang memerlukan rawatan lanjutan di hospital. Bantuan ini tidak menampung kos rawatan yang diterima tetapi meringankan bebanan dari segi pengangkutan, makanan dan kediaman.

Walau bagaimanapun, bantuan bagi penyakit kritikal dan memerlukan rawatan berulang seperti hemodialisis turut mendapat perhatian dari Tabung Baitulmal Sarawak. Pemohon hanya perlu mengisi borang permohonan dan melengkapkan Borang Pengesahan Rawatan yang disahkan oleh pihak Hospital atau pusat rawatan dan tertakluk kepada syarat-syarat bantuan.

Apakah rasional Tabung Baitulmal Sarawak mewujudkan borang bantuan secara online?

Tabung Baitulmal Sarawak sentiasa memastikan saluran sistem penyampaiannya dapat memberi kemudahan kepada masyarakat Islam baik bagi tujuan pembayaran zakat atau permohonan bantuan. Pengunaan internet dalam apa jua urusan pada zaman ini sudah tidak asing lagi dikalangan masyarakat tempatan. Permohonan pekerjaan, kemasukan ke IPT, urusan pembayaran dan lain-lain sudah dipermudahkan melalui kaedah ini. Justeru, pengambilan borang permohonan bantuan di kaunter tidak digalakkan bagi memastikan prasarana online berfungsi dan diterima pakai sepenuhnya.

Adakah Tabung Baitulmal Sarawak menyediakan bantuan untuk pelajar yang akan melanjutkan pelajaran diperingkat sarjana?

Fokus bantuan Tabung Baitulmal Sarawak pada masa ini adalah untuk para pelajar yang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda. Walau bagaimanapun, bantuan pada peringkat sarjana hanya dikhususkan bagi pengajian dalam bidang agama.

Apakah tindakan Tabung Baitulmal Sarawak ke atas baki atau lebihan wang zakat selepas sebahagiannya diagihkan kepada asnaf melalui bantuan-bantuan yang sedia ada?

Setiap kutipan wang zakat yang ada pada Tabung Baitulmal Sarawak akan tetap diagihkan kepada asnaf yang berhak mengikut tiga program utamanya. Memandangkan kutipan zakat diterima daripada awal sehingga ke akhir tahun semasa, maka akan wujud baki atau lebihan wang zakat yang belum sempat diagihkan kepada asnaf yang berhak setiap tahun. Oleh itu, lebihan ini akan diagihkan pada tahun-tahun yang seterusnya.

Zakat binatang ternakan ? Kambing dan Lembu/kerbau?

Beberapa jenis binatang ternakan diwajibkan zakat. Dalilnya sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : " Daripada Muaz lbnu Jabal, beliau berkata: Baginda Rasulullah S.A.W telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku dari setiap 40 ekor lembu, satu ekor lembu musinnah (seekor lembu betina yang umurnya mencapai 3 tahun) dan dari tiap-tiap 30 ekor lembu, tabi' atau tabiah (satu ekor lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun).

Adapun binatang ternakan yang diwajibkan zakat ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Kadar pengeluar zakat adalah seperti berikut:

* Kiraan Zakat Lembu/Kerbau

KADAR NISAB

BIL. (Ekor)

KADAR ZAKAT

30 – 39

1 ekor lembu (Jantan/Betina) berumur 1 tahun lebih

40 – 59

1 ekor lembu jantan berumur 2 tahun lebih

60 – 69

2 ekor jantan 1 tahun

70 – 79

1 tahun (1 Jantan & 1 Betina)

80 – 89

2 ekor lembu betina berumur 2 tahun

90 – 99

2 ekor lembu jantan berumur 1 tahun

100 -109

3 ekor lembu ( 1 betina berumur 2 tahun & 2 ekor jantan berumur 1 tahun)

110 – 119

3 anak lembu (1 betina berumur 1 tahun & 2 ekor jantan berumur 2 tahun)

 

Apabila bilangan itu lebih dari yang dinyatakan di atas, maka bagi setiap 30 ekor lembu diwajibkan zakat 1 ekor lembu yang berumur 1 tahun. Bagi setiap 40 ekor lembu diwajibkan zakat satu ekor lembu yang berumur 2 tahun.

 

* Kiraan Zakat Kambing / Biri-biri

KADAR ZAKAT

Bil. (Ekor)

KADAR ZAKAT

40 – 120

1 ekor berumur 1 tahun

121 – 200

2 ekor berumur 1 tahun

201 – 399

3 ekor berumur 1 tahun

 

Setiap penambahan 100 ekor, zakatnya ditambahkan I ekor kambing 2 tahun dan seterusnya.

 

Apakah boleh saya menyertai Skim Zakat Potong Gaji dengan niat berzakat walaupun dari segi syaratnya saya tidak layak atau tidak wajib?

Zakat adalah wajib bagi orang yang telah memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh syara’. Walau bagaimanapun, bagi mana-mana individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan berzakat tetapi mempunyai niat untuk membayar zakat agar mendapat rahmat dan keberkatan berzakat maka ianya dibolehkan dan akan dianggap sebagai sedekah.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A'raaf ayat 156 Yang bermaksud : “Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami".

Bagaimanakah caranya saya hendak membuat pengiraan bagi memastikan perhiasan emas saya wajib untuk dizakatkan?

Bagi Zakat Emas terdapat dua keadaan dikenakan Zakat.

Emas yang tidak dipakai

·         Emas yang tidak dipakai bermaksud emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab adalah atas nilai emas 85 gram. Jika  emas yang tidak dipakai tadi menyamai atau melebihi 85 gram, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% atas nilai emas tersebut. Sebagai contoh jika emas tidak dipakai adalah bernilai RM4,000 (nilai semasa sahaja yang diambilkira), maka ia  wajib dikeluarkan Zakat sebanyak :

RM4,000 x 2.5% = Rm100.00

Emas yang dipakai

·         Emas ini sama ada dipakai (perhiasan wanita) sekali sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun. Untuk emas yang dipakai, tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Akan tetapi jika ianya melebihi ’uruf (’uruf ialah nilai pemakaian setempat yang dibenarkan), maka ia wajib dikeluarkan Zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari ’uruf itu. Harus diingat, nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata. Contohnya, jika seseorang wanita itu mempunyai emas sebanyak RM25,000, maka zakat yang wajib dikeluarkan adalah sebanyak :

RM25,000 –RM5,000 (nilai uruf)* = RM20,000

RM20,000 x 2.5% - RM500.00

* Ini adalah kadar uruf yang digunakan di Wilayah Persekutuan.

Adakah wang simpanan anak yatim wajib dizakat?

Syarat-syarat wajib zakat untuk wang simpanan ada 5 iaitu Islam, milik sempurna, cukup nisab, cukup haul dan merdeka. Jika dilihat kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan maka jelaslah bahawa apabila kita memenuhi 5 syarat yang ditetapkan maka kita telah pun diwajibkan untuk membayar zakat simpanan. Oleh itu, anak yatim atau penjaganya wajib mengeluarkan zakat untuk wang simpanan tersebut jika syarat-syarat berkenaan dipenuhi. Hadis riwayat At-Tirmizi :

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ النَّاسَ فَقَالَ أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ.

 (رواه الترمذي)

Yang bermaksud : Dari `Amru bin Syu'aib, dari bapanya, dari datuknya, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah berucap kepada orang ramai yang lalu bersabda: "Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta, hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) dimakan oleh zakat. 

Bolehkah wang simpanan yang bercampur faedah (riba) yang disimpan di Bank Konvensional dizakat? Bagaimana?

Bagi wang simpanan yang bercampur faedah (riba) hanya dapat dizakat setelah menolak jumlah faedah yang diterima. Dalam ertikata lain, hanya jumlah pokok yang cukup nisab saja layak dizakat. Walau bagaimanapun, sebagai seorang muslim adalah menjadi kewajipan kita untuk menyimpan dalam perbankan Islam.

Adakah wang yang disimpan dalam Perbankan Islam perlu dizakat?

Ya, wang yang disimpan di Perbankan Islam wajib dizakatkan jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan kecuali bagi bank atau institusi yang telah mengeluarkan zakat bagi pihak penyimpan atau pelabur, contohnya Lembaga Tabung Haji. Ini bermakna deposit individu yang disimpan di Lembaga Tabung Haji tidak perlu dikeluarkan zakat simpanan kerana Lembaga Tabung Haji telah pun mengeluarkannya bagi pihak pendeposit.

Adakah zakat yang tidak dijelaskan pada tahun-tahun lepas wajib dibayar? Jika wajib adakah dikenakan denda atau kaffarah ?

Zakat adalah hak Allah s.w.t. yang mesti diagihkan kepada golongan yang telah ditentukan oleh-Nya dengan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Wang yang telah sempurna syarat, wajib mengeluarkan zakatnya. Menahan pembayaran zakat tanpa ada sebarang uzur syara' adalah suatu dosa besar kerana ia menahan hak golongan yang berhajat kepadanya dan dikira menzalimi golongan tersebut.

Contohnya, kita mempunyai wang simpanan yang telah memenuhi syarat-syarat wajib zakat tetapi tidak pernah dikeluarkan zakat selama lima tahun, maka dalam kes seperti ini kita wajib menjelaskan zakat untuk lima tahun tersebut sama seperti konsep qada' dalam solat tanpa dikenakan sebarang denda dan sebagainya.

Adakah wajib zakat harta pusaka yang ditinggalkan oleh ayah atau ibu yang kemungkinan besar sebelum ini belum dizakat? Jika wajib, adakah dibayar zakatnya sebelum dibahagi kepada waris atau masing-masing waris yang membayar zakatnya?

Dalam perkara berhubung harta peninggalan si mati, dibelanjakan harta tersebut pada :

a)          Menyempurnakan Jenazah si mati dengan belanja yang tidak boros atau berlebih-lebihan

b)          Dibayar hutang si mati. Didahulukan hutang kepada Allah s.w.t. seperti zakat, kaffarah, haji dan lain-lain, kemudian disempurnakan wasiat-wasiatnya satu pertiga dari pusakanya selepas dibayar kesemua hutang-hutangnya kemudian yang lebih daripada pusakanya itu, barulah dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum fara'id.

c)           Harta pusaka si mati, jika sudah sampai nisab dan cukup haulnya, maka wajiblah dikeluarkan zakatnya dengan segera.

Adakah hantaran suami kepada bakal isterinya dalam bentuk hantaran (belanja dapur) yang melebihi nisab layak dikenakan zakat?

Zakat hanya wajib dibayar apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Hantaran lelaki kepada bakal isteri (belanja dapur), hanya diwajibkan zakat apabila telah sampai nisabnya dan cukup haulnya serta hantaran tersebut dalam bentuk wang yang menjadi milik sempurna kepada bakal isteri. Jika sekiranya wang hantaran tersebut habis dibelanjakan sebelum cukup haulnya, maka zakat tidak diwajibkan.

Adakah (hasil) tangkapan nelayan seperti ikan diwajibkan zakat?

Tidak diwajibkan zakat dari hasil tangkapan ikan kerana ianya tidak disenaraikan sebagai harta yang diwajibkan zakat. Sungguhpun demikian, sekiranya penangkapan ikan menjadi sumber pendapatannya maka ia wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan. Berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Keluarkanlah (zakat) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu " (Surah -Al-Baqarah:267).

 

Adakah diwajibkan zakat pada perhiasan perempuan ?

Perhiasan perempuan (muslimah) samada emas dan perak, sama ada yang dipakai atau disimpan, diwajibkan zakat ke atasnya apabila telah cukup haul dan telah sampai nisabnya. Nisabnya ialah 85g. Contohnya, jika emas yang dipakai seberat 1 kg (1000g) maka zakatnya ialah (1000g - 775g) x 2.5% = 5.62g atau nilainya berdasarkan kepada harga emas semasa.

Adakah perlu membayar zakat sekiranya saya ada meminjam wang sebanyak RM50,000 dari bank untuk membeli sijil ASB ?

Zakat akan dikenakan dalam keadaan berikut:

·         Setiap ansuran bulanan perlu kita kirakan sehingga cukup nisab dan dibayar zakatnya.

·         Mana-mana hasil pelaburan tersebut yang mencukupi nisab hendaklah dibayar zakatnya juga.

Saya telah menerima duit caruman KWSP sebanyak RM25,000 pada bulan lepas, di samping itu saya ada menanggung hutang sebanyak RM5,000. Persoalannya adakah saya perlu membayar hutang saya terlebih dahulu?

Hutang hendaklah dijelaskan dahulu dan bakinya akan dikeluarkan zakat setelah mencukupi syarat-syaratnya.

Berapakah kadar nisab bagi padi dalam kilogram dan kadar zakatnya?

Padi adalah tanaman yang diwajibkan zakat kerana ia merupakan makanan asasi (Qutul balad) masyarakat kita. Nisab bagi zakat pertanian ialah lima(5) ausuk iaitu menyamai 363 gantang Malaysia atau 925kg setelah ianya dibersihkan. Pembayaran hendaklah dilakukan setelah habis menuai pada setiap musim. Kadar zakat berbeza-beza bergantung kepada kaedah penanaman. Padi yang sampai nisabnya wajiblah dikeluarkan zakat menurut salah satu daripada kadar berikut:

KADAR ZAKAT

CARA DIUSAHAKAN

5 %

Melibatkan kos seperti kos jentera pengairan dan lain-lain. Tidak bergantung kepada sumber alam dalam mengusahakannya.

7.5 %

Melibatkan kos seperti kos jentera. Pengairan dan lain-lain dan bergantung kepada sumber alam dalam mengusahakannya.

10 %

Bergantung sepenuhnya kepada sumber alam tenaga manusia dalam mengusahakannya.

 

Adakah saya wajib membayar zakat harta yang lepas?

 

Kefardhuan berzakat diwajibkan setelah seseorang itu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seseorang itu telah mencukupi syarat tetapi tidak mengeluarkan zakat maka dia dianggap berdosa kerana tidak menunaikannya. Para ulamak berpendapat bahawa zakat yang tidak dikeluarkan pada tahun yang lalu sama ada sengaja atau terlupa, wajib diqadha pada masa dia mengetahui akan kewajipannya.

Adakah wang premium insuran, wajib dizakatkan?

Insuran terbahagi kepada dua jenis laitu Insuran Nyawa dan Am. Insuran Nyawa berkonsepkan simpanan manakala Insuran Am tidak. Berdasarkan kepada keadaan ini, hanya premium Insuran Nyawa wajib dikeluarkan zakat.

Bolehkah seorang suami membayar zakat pendapatan bagi pihak isterinya yang bekerja dengan mengunakan wang suami yang tidak akan dibayar balik?

Sah zakatnya. Hal seperti ini melibatkan prinsip al-Wakalah dalam fiqh mu'amalat Islam. Oleh kerana zakat itu wajib ke atas individu tertentu, untuk menyempurnakan segala syarat yang terlibat, maka si isteri bolehlah mewakilkan suaminya untuk mengeluarkan zakat bagi pihaknya. Dalam hal ini, si isteri hendaklah berniat zakat ketika mewakilkan suaminya.

 

Emas terbahagi kepada dua jenis iaitu emas 999 dan emas 916. Adakah kedua-dua emas ini wajib dikeluarkan zakat setelah cukup nisabnya?

Emas diwajibkan zakat tanpa mengira jenis-jenis gred sesuatu emas tersebut. Ini berdasarkan kepada firman Allah: .

Yang bermaksud : " Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih..."

Dari ayat ini, Allah s.w.t tidak mengklasifikasikan kewajipan ini kepada gred-gred emas. Lafaz emas yang disebut didalam ayat ini adalah mutlak, oleh yang demikian, sebarang emas, tanpa mengira gred wajib dikeluarkan zakat setelah memenuhi syarat-syaratnya.

Bagaimanakah mengeluarkan zakat perniagaan ?

Zakat Perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan, sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa Terpuji. (Surah al-Baqarah ayat 267)

Syarat-syarat wajib Mengeluarkan Zakat Perniagaan adalah seperti berikut :

a)      Islam

b)      Merdeka

c)      Harta itu mestilah daripada harta yang halal

d)      Cukup nisab pada akhir haul

e)      Harta tersebut mestilah harta yang produktif

f)       Milik Sempurna

g)      Sumber harta perniagaan termasuk derma dan seumpamanya akan dizakatkan

h)      Niat berniaga

i)        Harta perniagaan tidak diambil untuk kegunaan sendiri

 

Kaedah Pengiraan Zakat

Terdapat dua kaedah yang boleh digunakan iaitu Kaedah Modal Berkembang dan Kaedah Modal Kerja.

 

Kaedah Modal Berkembang (growth model) mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Dalam istilah yang lebih ringkas ialah modal dicampurkan dengan keuntungan. Formula ringkasnya ialah seperti berikut:-

EKUITI PEMILIK Dicampur LIABILITI JANGKA PANJANG Ditolak ASET TETAP

Ditolak ASET BUKAN SEMASA Campur/Tolak PELARASAN Bersamaan

HARTA PERNIAGAAN YANG DIKENAKAN ZAKAT

Kaedah Modal Kerja mengambil kira kedudukan aset semasa perniagaan, ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat sama ada dengan mencampurkan item-item yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau dibuat tolakan.

Formulanya dapat diringkaskan seperti berikut:-

HARTA SEMASA Ditolak TANGGUNGAN SEMASA Campur/Tolak PELARASAN Bersamaan HARTA PERNIAGAAN YANG DIKENAKAN ZAKAT.

Perbezaan kedua-dua kaedah itu adalah dari segi pendekatan sahaja kerana ia berasaskan kepada persamaan perakaunan yang seimbang (sebelum mengambil kira pelarasan) seperti berikut:-

EKUITI PEMILIK Dicampur LIABILITI JANGKA PANJANG Ditolak ASET TETAP Ditolak ASET BUKAN SEMASA Bersamaan ASET SEMASA Ditolak LIABILITI SEMASA

Bagi mana-mana usahawan yang sudah cukup syarat untuk membayar zakat perniagaan, tidak perlu bimbang tentang kaedah pengiraan ini kerana wakil firma audit atau agen cukai syarikat boleh memahaminya. Yang penting beberapa peringatan berikut wajar dipertimbangkan:-

·         Cara terbaik ialah syarikat membayar zakat bagi pihak pemegang saham muslimnya. Apabila syarikat membayar zakat, pemegang saham tidak perlu lagi membayar zakat perniagaan, zakat saham ataupun zakat di atas dividen yang diterimanya.

·         Inisiatif mengira dan membayar zakat terletak di atas Lembaga Pengarah Syarikat yang telah diamanahkan oleh pemegang saham menjalankan urusan syarikat.

·         Sekiranya Lembaga Pengarah tidak ada kuasa menggunakan wang syarikat untuk membayar zakat, usul hendaklah dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Syarikat bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk membayar zakat. Jika usul membayar zakat tidak diluluskan, kewajipan tersebut jatuh kepada pemegang saham individu muslim membayar zakat daripada wang mereka sendiri. Pemegang-pemegang saham individu muslim ini perlu membayar zakat mengikut peratusan pelaburan yang dimiliki oleh mereka secara berasingan.

·         Jika syarikat tidak membayar zakat atau seseorang pemegang saham muslim tidak mengetahui peratusan pegangan sahamnya dibanding dengan keseluruhan pegangan saham individu muslim, maka individu muslim yang memiliki saham dalam syarikat yang tidak membayar zakat boleh menunaikan kewajipan berzakat dengan cara membayar zakat atas saham, bukan zakat perniagaan.

·         Bagi menjaga kepentingan modal masyarakat Islam dalam dunia perniagaan, pembayaran zakat perlu dikaitkan dengan kemampuan membayar. Jika tiada kemampuan membayar zakat atas perniagaan atau saham, pemilik saham harus membayar zakat di atas dividen yang diterimanya.

·         Buat masa ini, kerajaan hanya memberi rebat bagi pembayaran zakat untuk Cukai Pendapatan Individu (ACP 1967, 6A-3). Ketika ini,zakat perniagaan yang dibayar oleh syarikat dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat.

·         Perlu diingat bahawa zakat perniagaan itu wajib dan hendaklah dibayar kerana Allah dan bukannya atas sebab lain. Lazimnya, zakat perniagaan amat sedikit jika dibandingkan kos-kos perniagaan yang lain.

Kenapakah batu permata dan berlian tidak dikenakan zakat sedangkan harganya lebih mahal daripada emas?

Batu permata dan berlian tidak dikenakan zakat walaupun harganya lebih mahal daripada emas kerana tidak terdapatnya nas-nas daripada Al Quran dan Hadith, sementara itu emas pula diwajibkan zakat kerana disana terdapat banyak nas yang memerintahkan agar emas dikeluarkan zakat apabila telah mencukupi syarat-syaratnya  sebagaimana  yang  telah  disabdakan oleh baginda s.a.w yang bermaksud : " Tidak wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar (85 gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul maka wajiblah zakat padanya 1/2 dinar(2.5 %) maka sekiranya lebih (2.5%) daripada keseluruhannya ".

Dalam hal ini seseorang yang berniat untuk memiliki sesuatu yang mahal seperti batu permata dan berlian atas dasar simpanan, pada hakikatnya ia boleh memberi kewajaran untuk dikenakan zakat. Sebagai langkah lebih selamat, maka adalah wajar dibuat pengiraan nilai pasaran pemilikan itu untuk dibayar zakat.

Sekiranya saya ada menyimpan wang di rumah dan sebahagiannya lagi di bank dan Tabung Haji, adakah ia wajib dikeluarkan zakat dan bagaimana?

Wang yang disimpan dimana jua pun wajib dikeluarkan zakat jika cukup semua syaratnya. Perbezaan tempat  simpanan tidak mempengaruhi hukum wajib zakat ke atas harta tersebut. Nisabnya menurut berat 85 gm emas, kadarnya 2.5% dan ia hendaklah berada dalam simpanan selama setahun qamariyyah. Untuk menentukan nisab wang simpanan, baki terendah dalam akaun atau simpanan menjadi asasnya. Manakala bagi simpanan di Tabung Haji, seseorang itu tidak perlu lagi mengeluarkan zakatnya kerana pihak berkenaan telah berbuat demikian untuk semua pendepositnya.

Apakah yang telah dilakukan oleh Tabung Baitulmal Sarawak ke atas wang yang terkumpul dari bayaran Sumbangan Wajib ? Dan bolehkah ia dianggap sebagai bayaran zakat?

Setiap pekerja Islam yang bekerja di Sarawak secara statutorinya hendaklah dipotong gaji mereka mengikut kadar tertentu seperti dalam jadual yang telah ditetapkan sebagaimana  yang telah termaktub dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001. Pemotongan gaji pekerja ini adalah tanggungjawab para majikan masing-masing dan Tabung Baitulmal Sarawak hanyalah sebagai sebuah institusi yang diamanahkan untuk mengutip, mengagih dan mentadbir dana tersebut. Sumbangan wajib ini adalah merupakan sedekah dan ianya bukan zakat.

Dana hasil kutipan sumbangan wajib ini berperanan sebagai tabungan jangka panjang untuk masyarakat Islam. Pada masa ini, dana kutipan Sumbangan Wajib telah banyak digunakan untuk membiayai program-program kebajikan dan aktiviti-aktiviti pembangunan ummah Majlis Islam Sarawak.

Mengapa setiap kutipan zakat tidak disiarkan secara menyeluruh melalui media massa?

Memang ada dimaklumkan kepada pihak awam tentang kutipan zakat dalam bentuk kenyataan akhbar dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun kita mempunyai beberapa kaedah dalam menerangkan peranan dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh Tabung Baitulmal Sarawak. Selain daripada ceramah, bengkel dan taklimat, salah satu daripada kaedahnya ialah melalui 'Zakat Information Centre' (ZIC), di mana segala maklumat seperti bilangan pembayar, jumlah kutipan, jumlah perbelanjaan, jenis-jenis bantuan yang disediakan, hukum-hukum zakat, roh pensyariatan zakat dan sebagainya boleh didapati di ZIC. Di samping itu, sebarang perkembangan Tabung Baitulmal Sarawak dari masa ke semasa turut dimaklumkan melalui facebook.

Mengapakah kadar uruf bagi emas perhiasan di Sarawak lebih tinggi daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia?

Kadar uruf bagi emas perhiasan yang mewajib zakat dikeluarkan ditentukan oleh mufti kerajaan negeri masing-masing. Dasar yang digunakan adalah uruf setempat dimana uruf atau adat kebiasaan ini berbeza-beza mengikut tempat

Bagaimanakah cara untuk mengira zakat bagi emas perhiasan berdasarkan kepada kadar uruf di Negeri Sarawak?

Kaedah pengiraan Zakat Emas terbahagi kepada dua. Pertama kaedah pengiraan bagi emas perhiasan yang dipakai. Kadar uruf (had pemakaian setempat yang tidak sampai kepada had membazir) bagi emas perhiasan yang dipakai ialah 775 gram. Jumlah ini akan dinilai dengan harga semasa satu gram emas. Hanya baki setelah ditolak 775 gram sahaja yang akan dikira untuk dizakatkan.

Contohnya, anda mempunyai 800g emas perhiasan yang dipakai manakala harga 1g bersamaan dengan RM40.00, maka cara pengiraannya :

800-775 = 25g

25g X RM40= RM1000

Jadi, zakatnya adaiah : RM1000 X 2.5% = RM25, di mana 2.5% adalah kadar zakat yang wajib dikeluarkan.

 

Jika seseorang menyimpan sebahagian daripada gaji bulanannya, bagaimanakah dia akan mengeluarkan zakat hartanya sedangkan sebahagian daripada gaji yang disimpannya itu belum cukup haulnya?

Wajib zakat untuk gaji bulanannya dan mana-mana simpanannya yang sudah cukup nisab dan haul maka wajib atasnya membayar zakat bagi simpanan tersebut.

Bolehkah kereta kedua diambil kira daIam pengiraan zakat pendapatan (kaedah bersih) setelah kereta pertama habis dibayar?

Kereta kedua yang dianggap sebagai kehendak tidak dianggap sebagai tolakan kepada pengiraan zakat pendapatan.

Apakah jenis-jenis zakat yang boleh mendapat rebat cukai ?

Semua jenis Zakat harta dan Fitrah layak mendapat rebat cukai. Seksyen 6A(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa semua zakat atau mana-mana bayaran yang dikira sebagai tanggungjawab yang diwajibkan oleh agama Islam layak mendapat kemudahan ini. Namun begitu, rebat tersebut hanya akan diberikan kepada pembayar cukai individu.

Bolehkah Zakat Harta yang lain dibayar melalui potongan gaji?

Zakat harta yang lain boleh dibayar melalui potongan gaji bulanan. Jumlah potongan adalah atas budi bicara si pembayar setelah membuat pengiraan mengikut kaedah yang telah ditetapkan. Jumlah zakat gaji dan zakat harta yang lain bolehlah dicantumkan ke dalam potongan bulanan.

Bolehkah diambil kira keperluan-keperluan lain yang tidak disebut dalam buku Panduan Pengiraan Zakat?

Buku Panduan Pengiraan Zakat Pendapatan hanyalah bertujuan memudahkan individu untuk mengira zakat bagi pendapatan mereka. Walau bagaimanapun, keperluan-keperluan lain boleh diambil kira atau ditolak daripada pendapatan kasar jika sekiranya atas perbelanjaan keperluan semata-mata dan bukannya kehendak. PerIu juga diingatkan bahawa yang dimaksudkan dengan keperluan ialah merangkumi enam (6) aspek, iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal (perlindungan), pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan. Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada nas-nas yang digunapakai oleh para ulama Islam, manakala data ekonomi yang terdapat di dalam buku panduan tersebut dibuat melalui kajian pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak dan rujukan kepada angka piawaian Kerajaan Malaysia,  dalam menentukan keperluan asasi manusia.

Adakah cara Iain untuk membayar zakat sekiranya majikan tidak menyediakan kod potongan ?

Selain membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji, ia juga boleh dibayar terus di kaunter pejabat-pejabat Tabung Baitulmal Sarawak atau agen-agen yang telah dilantik seperti bank-bank dan sebagainya. Di samping itu, membayar melalui kod potongan untuk sumbangan wajib juga boleh diusahakan dalam usaha untuk menyeru lebih ramai pembayar zakat.

 

Apakah perbezaan antara Zakat Pendapatan dan Sumbangan Wajib yang diterima oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak?

Zakat Pendapatan adalah sesuatu yang wajib dikeluarkan apabila telah memenuhi syarat-syaratnya kerana ia merupakan Rukun Islam yang ke-3 dan agihannya pula adalah khusus untuk golongan tertentu sahaja seperti yang telah ditetapkan oleh Allah  s.w.t. dalam  Al-Quran,surah At-Taubah:ayat 60.

Manakala Sumbangan Wajib adalah merupakan sedekah atau amal jariah yang dikehendaki secara statutori Ordinan MIS ke atas setiap pekerja Islam yang bekerja di Sarawak sahaja pada kadar yang telah ditetapkan.

Bolehkah pendapatan suami isteri ditaksir bersama untuk mengirakan Zakat Pendapatan sepertimana kaedah yang diguna pakai oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri?

Zakat Pendapatan merupakan kefardhuan kepada setiap individu yang bekerja setelah memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Kaedah pengiraan Zakat Pendapatan adalah berbeza dengan apa yang dikemukakan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri. Oleh yang demikian, tidak boleh ditaksirkan pendapatan suami isteri bagi mengeluarkan Zakat Pendapatan.

Bolehkah pihak Tabung Baitulmal Sarawak mengeluarkan resit zakat bagi tarikh tahun lepas sedangkan pembayaran adalah dibuat pada tahun semasa bagi memudahkan kami untuk rebat cukai?

Untuk makluman, Tabung Baitulmal Sarawak telah pun menggunakan sepenuhnya sistem resit berkomputer. Bermakna resit yang dikeluarkan tidak boleh diubah tarikh terkebelakang. Walau bagaimanapun para pembayar dinasihatkan supaya membayar sebelum akhir bulan Disember setiap tahun bagi memastikan resit tersebut dapat diguna pakai bagi tujuan rebet cukai dalam tahun semasa.

 

Bagaimanakah mengira Zakat Gaji? Dan adakah saya layak membayar Zakat Gaji?

Syarat wajib Zakat pendapatan (gaji) ialah Islam,cukup nisab, cukup haul, milik sempurna dan merdeka. Bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat tersebut maka wajiblah bagi mereka untuk menunaikan kewajipan berzakat. Terdapat 2 cara atau kaedah untuk mengira zakat pendapatan gaji (ZPG).

           i.            Kaedah Pendapatan Kasar

2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab)

         ii.            Kaedah Pendapatan Bersih

2.5% atas jumlah pendapatan bersih setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab)setelah ditolak semua perbelanjaan asasi hidup dalam masa setahun.

Bagi mendapat penerangan untuk pengiraan yang lebih jelas, anda dinasihatkan agar berurusan terus dengan pegawai di kaunter pejabat Tabung Baitulmal Sarawak yang berdekatan.

Saya seorang pekerja dari jabatan kerajaan yang telah membayar zakat melalui ZPG, dan jika suami saya membayar zakat ZPG melalui saya dapatkah pihak LHDN memberi rebat kepada suami saya?

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, terdapat peruntukan bahawa setiap mereka yang membayar zakat boleh dikecualikan atau mendapat perlepasan kadar tersebut daripada membayar cukai pendapatan. Ini dapat dilihat dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A (3). Untuk mendapatkan pengecualian tersebut, setiap mereka yang telah membayar Zakat perlu membuktikan pembayarannya dengan mengemukakan resit yang dikeluarkan oleh pihak yang diberi kuasa untuk memungut Zakat. Dalam hal ini, resit atau penyata akuan penerimaan zakat yang dikeluarkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak merupakan dokumen yang sah bagi maksud tuntutan rebat/pelepasan cukai.

Jadual Potongan Cukai Berjadual (PCB) daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negerl yang dikeluarkan mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1hb Januari 2001, berkenaan dengan kaedah-kaedah cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001 ada menyatakan bahawa "Dimana seorang pekerja telah membayar zakat kepada pihak berkuasa Zakat,majikan boleh membuat penyesuaian kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran Zakat tersebut.”

Jika sekiranya si suami membayar zakat pendapatan melalui si isteri, maka hanya si isteri sahaja yang layak untuk mendapat rebat/pelepasan cukai. Ini bermakna pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri hanya mengambil kira rebat/pelepasan cukai berdasarkan kepada nama pembayar yang tertera pada resit zakat yang dikeluarkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak.

Bagi kaedah pengiraan Zakat Pendapatan secara gaji bersih, adakah ansuran bulanan bayaran pinjaman pendidikan boleh ditolak dari gaji kasar?

Bayaran ansuran pinjaman pendidikan boleh ditolak daripada gaji kasar memandangkan ia satu keperluan pada zaman ini berdasarkan kepada pandangan Dr. Yusuf Qardawi yang menjelaskan bahawa tolakan hanya boleh dibuat khusus untuk perbelanjaan asasi hidup sahaja. Seandainya pinjaman pendidikan merupakan satu keperluan kepada individu tersebut, maka tolakan boleh dibuat daripada gaji kasar. Perlu diingatkan bahawa keperluan antara seseorang individu adalah berbeza. Berkata imam Nawawi dalam kitab Al-Majmuk pada jilid ke-6 muka surat 172 maksudnya: " Berkata sahabat kami, perkara yang diambil kira dalam menentukan had kecukupan adalah pada makanan, pakaian, tempat tinggal dan semua perkara yang diperlukan bersesuaian dengan keadaannya tanpa berlebihan dan tidak menyusahkan diri seseorang dan mereka yang berada di bawah tanggungannya".

Saya merupakan seorang pembayar Zakat Pendapatan melalui Skim Zakat Potong Gaji, dan dalam masa yang terdekat ini saya akan berpindah ke Semenanjung Malaysia, bagaimanakah caranya untuk saya menghentikan pembayaran zakat melalui skim ini?

Skim Zakat Potong Gaji (ZPG) adalah satu prasarana bagi memudahkan pembayaran zakat pendapatan secara bulanan. Bagi memulakan atau menghentikan potongan ini pembayar perlulah mengisi borang Skim ZPG yang boleh didapati di Tabung Baitulmal Sarawak. Di dalam borang ini terdapat ruangan yang menunjukkan penambahan atau pengurangan potongan bulanan. Pemohon yang hendak menghentikan pembayaran zakatnya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan boleh mengisi ruangan tersebut dengan menyatakan pengurangan dari kadar semasa kepada kadar RM0.00.

Borang tersebut akan diproses dan salinan akan diberikan kepada pemohon dan majikan untuk mengambil perhatian dan tindakan yang perlu.

Selain dari tu, pemohon boleh juga memaklumkan pemberhentian Skim ZPG melalui surat kepada Tabung Baitulmal Sarawak.

Saya telah menunaikan cukai pendapatan setiap bulan melalui kaedah PCB (Potongan Cukai Bulanan) dan pada masa yang sama saya dikehendaki untuk menunaikan Zakat Pendapatan, apakah perbezaan antara kedua-dua skim ini?

Zakat Pendapatan adalah ibadah wajib yang telah difardhukan di dalam Islam sebagaimana yang telah difatwakan oleh  kebanyakan ulama muta’akhirin termasuk Prof. Dr. Yusof Qardhawi, demikian juga oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. 

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kewajipan Zakat Pendapatan ini, antaranya Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman keluarkanlah sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang telah Kami keluarkan dari bumi untuk kamu”.

Justeru setiap individu yang mempunyai sumber pendapatan, baik secara bulanan atau tahunan wajib menunaikan zakatnya setelah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Sementara Cukai Pendapatan adalah cukai yang dikenakan oleh kerajaan ke atas pendapatan yang diterima di Malaysia dan dikuatkuasakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Sekiranya tidak dibayar maka tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pekerja tersebut.

Adakah simpanan di Tabung Haji perlu dizakat?

Para pencarum yang membuat simpanan kewangan di Tabung Haji tidak lagi perlu mengeluarkan zakat. Ini adalah kerana pihak Tabung Haji setiap tahun akan mengeluarkan Zakat bagi pihak mereka. Walau bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa simpanan di perbankan lain sama ada perbankan Islam atau konvensional masih wajib dikeluarkan Zakat Wang Simpanan mereka.

Kenapakah saya masih dikenakan potongan Cukai Pendapatan sedangkan saya sudah membuat arahan pembayaran zakat melalui skim Zakat Potong Gaji?

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A(3) dimana setiap individu yang membayar zakat berhak untuk mendapat kemudahan rebet cukai dan akta ini kebiasaannya telah diketahui oleh pihak majikan atau bahagian urusan penyediaan pembayaran gaji.

Secara umumnya, pihak Tabung Baitulmal Sarawak akan menghantar surat makluman bersama dengan satu salinan Borang Kebenaran Skim Zakat Potong Gaji kepada majikan bagi sesiapa yang hendak membayar Zakat Pendapatan dan menjadi tanggungjawab pihak majikan pula untuk memastikan jumlah Potongan Cukai Pendapatan dan Zakat Pendapatan diselaraskan untuk mendapat rebet cukai bulanan.

Sekiranya masih terdapat potongan cukai yang tidak diseimbangkan dengan jumlah potongan Zakat Pendapatan, para pembayar adalah dinasihatkan untuk merujuk dan memaklumkan pihak majikan atau bahagian gaji untuk membuat penyelarasan kepada potongan tersebut.

Apakah para pegawai atau amil zakat diberikan latihan dan pentauliahan yang betul sebelum mereka diberikan tugas untuk mengutip atau mengagih?

Semua pegawai di Tabung Baitulmal Sarawak dan para Amilin Zakat Fitrah di kawasan kampung telah diberi kursus dan taklimat yang perlu sebelum dibenarkan untuk melaksana urusan kutipan zakat atau agihan. Latihan yang diberi adalah mengikut bidang tugas yang telah diamanahkan kepada mereka.

Justeru, tidak perlu wujudnya kebimbangan ke atas kewibawaan para pegawai atau Amil Zakat Fitrah yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab ini.

Ada dikalangan masyarakat Islam bertanya mengapa kadar Zakat Fitrah berbeza dari tahun ke tahun. Apakah asas penentuan kadarnya?

Asas penentuan kadar Zakat Fitrah mengikut paras harga beras bagi satu gantang Baghdad bersamaan 2 kilo 700 gram. Harga beras akan berubah dari semasa ke semasa dan ianya diluar kawalan Tabung Baitulmal. Secara pentadbirannya, Pejabat Mufti Negeri Sarawak yang membuat penentuan kadar Zakat Fitrah setelah mengambilkira harga beras di pasaran dan faktor-faktor lain.

Ada berlakunya Amil di kawasan Iain mengutip daripada kawasan kami dan apakah pandangan Tabung Baitulmal Sarawak dalam hal ini?

Para Amil telah diingatkan oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak dalam kursus atau taklimat agar tidak mengutip Zakat Fitrah selain daripada kawasan yang telah diamanahkan kepada mereka. Persempadanan ini berdasarkan kepada pemilihan Ahli Jawatankuasa  Pengurusan Masjid atau Surau di sesebuah kawasan. Sungguhpun demikian, para amil dibenarkan untuk mengutip di kawasan yang tidak mempunyai Amil.

Kita difahamkan bahawa ada berlakunya Amil tertentu menyerah urusan kutipan kepada anak atau wakilnya dan tertib penerimaan tidak dipatuhi. Apakah pandangan pihak Tabung Baitulmal Sarawak dalam hal ini?

Amil yang diberi tauliah tidak boleh menyerah urusan kutipan kepada anak atau wakilnya kerana tanggungjawab secara rasmi terletak ke atas amil yang dilantik. Setiap Amil yang menerima pelantikan sudah dimaklumkan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sekiranya sudah tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab ini maka adalah lebih baik mengundurkan diri dan diserahkan kepada mereka yang layak. Dari segi tertib penerimaan, adalah lebih afdhal dilaksanakan dengan cara akad menerima dan seterusnya berdoa untuk mendapatkan keberkatan Allah.

 

Bagi kami di kawasan luar bandar atau pedalaman, kadangkala berlaku resit/kupon sebagai akuan penerimaan Zakat Fitrah sudah habis dan proses untuk mendapat resit/kupon tambahan mengambil masa. Bagaimanakah cara untuk mengatasi hal ini?

Kehabisan resit atau kupon memang sering berlaku. Adalah wajar para Amilin berusaha terlebih dahulu mendapat resit atau kupon tambahan daripada pejabat Tabung Baitulmal Sarawak yang terdekat. Jika dalam keadaan yang tertentu di mana proses untuk mendapat resit/kupon tambahan mengambil masa, para Amilin dinasihatkan untuk memberitahu pembayar fitrah tersebut membayar kepada Amil-amil lain yang terdekat. Jika pembayar masih bertegas hendak membayar, terima sahaja kutipan tersebut dan buat laporan seperti nama, alamat dan jumlah pembayar agar kupon dapat diberi kemudian semasa menghantar wang kutipan balik kepada Tabung Baitulmal Sarawak.

Bolehkah kami menggunakan wang kutipan Zakat Fitrah untuk diagihkan kepada Asnaf Fakir Miskin sekiranya wang pendahuluan daripada Tabung Baitulmal Sarawak belum diterima atau tidak mencukupi?

Dalam keadaan tertentu akibat masalah proses penghantaran wang pendahuluan daripada Tabung Baitulmal Sarawak, Amil boleh menggunakan wang kutipan Zakat Fitrah untuk diagihkan. Adalah menjadi tanggungjawab para Amilin untuk melaporkan perkara ini dengan mencatat jumlah yang digunakan apabila menghantar balik wang kutipan tersebut. Sebelum menggunakan wang kutipan Zakat Fitrah, adalah wajar seseorang Amil itu menyemak dahulu dengan pejabat Tabung Baitulmal Sarawak atau Pejabat Daerah yang terdekat untuk mendapatkan kepastian tentang status wang pendahuluan tersebut.

Setelah meneliti maksud dan kriteria orang yang berhak menerima agihan Zakat Fitrah, bolehkah kami mengeluarkan semua nama yang ada dalam senarai Fakir Miskin yang tidak menepati kehendak agihan tersebut di kawasan kami?

Mengikut hukum syarak, jelas dinyatakan bahawa mereka yang berhak agihan Zakat Fitrah adalah golongan Asnaf Fakir dan Miskin. Jika jelas seseorang itu tidak layak setelah kita membuat semakan secara fizikal tentang kedhaifannya maka wajar mereka dikeluarkan daripada senarai nama penerima Fakir Miskin. Untuk berlaku adil, lebih baik ianya dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Masjid atau Surau dan Ketua-ketua Masyarakat setempat bagi mendapatkan  persetujuan ramai.

Bolehkah kami mengganti atau menambah Amil di kawasan kami?

Amil boleh diganti sekiranya beliau didapati uzur atau meninggal dunia atau tidak memainkan peranannya atau tidak menjalankan tugasnya. Mengenai soal penambahan bilangan amil, ia boleh dibuat sekiranya perlantikan tersebut diperlukan atas sebab bilangan penduduk Islam bertambah di kawasan itu atau amil yang sedia ada berpendapat bahawa adalah wajar amil ditambah di kawasan tersebut untuk membantu beliau melaksanakan tanggungjawab tersebut. Walau bagaimanapun, tindakan untuk mengganti atau menambah Amil di sesuatu kawasan perlulah terlebih dahulu dibincang bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid/Surau, Ketua Masyarakat Islam, Imam dan amil-amil yang sedia ada.

Apakah yang harus kami buat sekiranya seseorang Amil itu sudah uzur atau tidak dapat berperanan lagi?

Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Masyarakat Islam, Imam, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid/Surau dan wakil masyarakat kampung membincang dan membuat keputusan untuk perlantikan Amil yang baru. Minit atau catatan perbincangan atau mesyuarat tersebut perlu dihantar ke Tabung Baitulmal Sarawak untuk urusan pencalonan dan pentauliahan.

Adakah had tempoh 3 tahun perlantikan Amil boleh diteruskan jika seseorang Amil itu masih berupaya melaksanakan tugasnya?

Had tempoh 3 tahun perlantikan Amil boleh diteruskan jika beliau masih mampu melaksanakan tugasnya. Sebarang lanjutan kepada perlantikan seseorang Amil itu perlulah juga dibincang dikalangan Ketua Masyarakat dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau kampung tersebut untuk mendapat persetujuan ramai.

Perlantikan kami selaku Amil bertanggungjawab mengutip Zakat Fitrah sahaja. Bolehkah kami mengutip Zakat Harta kerana ada di kalangan masyarakat Islam yang hendak membayar kepada kami?

Buat ketika ini, secara pentadbirannya Amil yang diberi tauliah hanya diberi kuasa untuk mengutip Zakat Fitrah sahaja. Sekiranya ada masyarakat Islam yang hendak membayar Zakat Harta, mereka boleh berhubung terus ke pejabat Tabung Baitulmal Sarawak yang berdekatan. Pembayaran melalui kemudahan agen-agen Tabung Baitulmal Sarawak seperti bank dan Pejabat Pos pun juga boleh dibuat atas nama Tabung Baitulmal Sarawak.

 

Sila gariskan langkah-langkah keselamatan yang harus kami buat dalam proses penyerahan wang kutipan Zakat Fitrah?

Sebagai seorang Amil, kita diberi tanggungjawab untuk menjaga wang tunai Zakat Fitrah yang dikutip. Tanggungjawab ini berat dan sebarang kecuaian seperti kehilangan atau kekurangan tunai perlu diganti. Untuk langkah keselamatan, jumlah tunai yang dikutip hendaklah sama dengan jumlah kupon yang dikeluarkan. Apabila menyerah kepada pihak Tabung Baitulmal Sarawak atau wakilnya (iaitu Pejabat Daerah), setiap Amil diwajib untuk mendapat resit akuan penerimaan daripada Tabung Baitulmal Sarawak atau wakilnya (iaitu Resit T.69 daripada pihak Pejabat Daerah). Pastikan jumlah yang tercatat dalam resit sama dengan tunai yang diserahkan.

Pembahagian hasil kutipan Zakat Fitrah bagi Amil hanyalah 1/8 daripada jumlah kutipan yang diperolehi. Bolehkah ianya ditambah kerana kos mengurus meningkat?

Secara pentadbirannya, 1/8 daripada jumlah kutipan telah ditetapkan kepada pihak amil. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang amil itu terpaksa menampung kos untuk mengurus hal kutipan ini, bukti sahih perlu dikemukakan kepada pihak Tabung Baitulmal Sarawak samada untuk dibayar balik atau sebaliknya tentang kos tambahan tersebut.

Kami menghadapi masalah dimana ada dikalangan masyarakat Islam suka membayar fitrah pada saat-saat akhir supaya lebih afdhal lagi. Boleh terangkan bagaimanakah kami hendak mengatasi dan memberi penjelasan kepada mereka?

Dalam masalah pengeluaran Zakat Fitrah ini terdapat beberapa hukum.

Pertama:

Hukumnya HARUS, iaitu sepanjang bulan Ramadhan.

Kedua:

Hukumnya WAJIB, iaitu setelah jatuh matahari akhir bulan Ramadhan.

Ketiga:

Hukumnya SUNAT, iaitu pada Hari Raya (sebelum solat Hari Raya).

Keempat:

Hukumnya MAKRUH, iaitu setelah selesai solat Hari Raya.

Kelima:

Hukumnya HARAM, iaitu selepas Hari Raya Pertama.

Para amilin dinasihatkan untuk sentiasa memaklumkan masyarakat kampung tentang hal ini.

Kenapakah ada perbezaan bagi kadar Zakat Fitrah antara negeri–negeri di Malaysia dan apakah asas pengiraannya?

Tidak terdapat perbezaan dari segi asas pengiraan bagi sukatan Zakat Fitrah iaitu Satu Gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7kg mengikut kepada makanan asasi disesebuah tempat. Perbezaan kadarnya adalah hanya pada nilai harga beras di negeri masing-masing.

Apakah yang harus Amilin buat jika peruntukan Agihan bagi fakir Miskin lebih besar daripada wang pendahuluan yang diterima daripada Tabung Baitulmal Sarawak?

Adalah menjadi tanggungjawab setiap Amil untuk memberi senarai bilangan Fakir Miskin lebih awal kepada pihak Tabung Baltulmal Sarawak. Sekiranya maklumat bilangan Fakir Miskin lewat dihantar maka pihak Tabung Baitulmal Sarawak terpaksa mengguna bilangan tahun yang lalu sebagai asas peruntukan. Ianya juga sebagai usaha untuk mempercepatkan proses menghantar wang pendahuluan. Para amilin juga dinasihat untuk menilai semula senarai fakir miskin kerana didapati ada di kalangan mereka tidak lagi layak kalau dikaji mengikut kriteria sebenarnya.

Perlukah Fidyah dibayar bagi orang yang telah meninggal dunia?

Fidyah merupakan denda yang perlu ditunaikan bagi sesiapa yang uzur atau meninggalkan ibadah puasa bulan Ramadhan. Ia hanya perlu dibayarkan ke atas mereka yang masih hidup sahaja dan tidak ke atas orang yang telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, jika si mati semasa hidupnya ada meninggalkan puasa dan tidak sempat diqada’kan maka adalah menjadi tanggungjawab ditunaikan Fidyahnya oleh si waris.  

Bolehkah saya mengagihkan sendiri bayaran Fidyah kepada mereka yang berhak ?

Boleh, jika anda benar-benar pasti bahawa orang yang diberikan Fidyah itu adalah golongan fakir dan miskin yang berhak terhadap Fidyah tersebut. Namun begitu, untuk mengelak berlakunya perbuatan salah agih kepada golongan yang tidak berhak, maka adalah lebih bijaksana jika ia diserahkan kepada Tabung Baitulmal Sarawak selaku wakil pemerintah dalam urusan zakat di negeri ini. Ini adalah kerana institusi tersebut lebih berpengalaman dan mempunyai data mengenai Asnaf Fakir dan Miskin yang dikemaskini bagi membolehkan Fidyah tersebut diagihkan kepada mereka.

Bagaimanakah cara pengiraan Fidyah dan ganti puasa yang perlu dibayar bagi tempoh masa yang panjang dan bagaimanakah cara untuk saya membayarnya?

Fidyah merupakan denda yang perlu ditunaikan sebagai mengganti ibadah puasa bulan Ramadhan yang tidak dapat dilaksanakan. Kaedah pengiraannya adalah satu cupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Kadarnya adalah ¼ dari jumlah semasa nilai Zakat Fitrah.

Sungguhpun Fidyah telah ditunaikan, puasa yang ditinggalkan masih wajib diqada’kan. Sekiranya masih belum diqada’kan, maka kadar Fidyah akan dilipat gandakan setiap tahun. Bagi memudahkan masyarakat Islam, Fidyah boleh dibayar dimana-mana pejabat Tabung Baitulmal Sarawak.

Kaedah pengiraan fidyah adalah seperti berikut :

1.      Tidak berpuasa beberapa hari pada tahun tertentu

Contoh : Tidak berpuasa 7 hari pada tahun 1407H (1987M) dan belum diqadha sehingga 1 Ramadhan 1430H (2008M)

Kaedah pengiraan :

Jumlah Fidyah = Bilangan Hari x Gandaan Tahun x Kadar Fidyah Semasa

2.      Tidak berpuasa beberapa hari pada tahun-tahun tertentu

Contoh : Tidak berpuasa 7 hari pada tahun 1407H (1987M), 10 hari pada tahun 1409H (1989M) dan 8 hari pada tahun 1411H (1991M) dan belum diqadha sehingga 1 Ramadhan 1430H (2008M)

Tahun

Masihi

Tahun Hijrah

Bilangan Hari (A)

Bilangan Tahun (B)

Kadar Fidyah (C)

Jumlah Fidyah (D)

1987

1407

7

22

1.50

D1

1989

1409

10

20

1.50

D2

1991

1411

8

18

1.50

D3

Kaedah Pengiraan :

 Bilangan Hari x Gandaan Tahun x Kadar Fidyah Semasa = Jumlah Fidyah

(AxBxC =D)

selepas itu dikira semua jumlah fidyah tahunan seperti berikut :

D1 + D2 + D3 = Jumlah Fidyah yang perlu dibayar

 

 

 

 

 

 

 

 

Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.