Pembangunan

soal jawab ....


Kenapakah TABUNG BAITULMAL SARAWAK mengenakan sewa pada kadar komersial sedangkan mereka sepatutnya membantu masyarakat Islam untuk beniaga dengan memberi harga sewa yang berpatutan?

MIS melalui TABUNG BAITULMAL SARAWAK sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk menaiktaraf kualiti kehidupan masyarakat terutamanya melalui peluang-peluang ekonomi. Justeru itu, hartanah yang dikelolakan oleh MIS bukan sahaja menyedia ruang kepada masyarakat Islam untuk menceburi bidang ekonomi malah dapat membantu masyarakat dari segi tawaran sewaan yang berpatutan berbanding kadar pasaran semasa seperti ruang-ruang komersial di pusat membeli belah yang lain di bandararaya Kuching setelah mengambil kira kos pembelian atau pembangunan, penyelenggaraan dan pengurusan.  Selain itu, mana-mana lebihan dari hasil sewaan ini juga akan dapat menampung program-program bantuan TABUNG BAITULMAL SARAWAK sediada terutamanya tidak dapat dibantu melalui dana Zakat. 

Apakah yang akan digunakan oleh TABUNG BAITULMAL SARAWAK ke atas wang hasil sewa bangunan TABUNG BAITULMAL SARAWAK seperti KIS nanti?

Pembangunan dan pembelian hartanah yang dilaksana oleh MIS melalui TABUNG BAITULMAL SARAWAK pada masa kini merupakan sebahagian dari perancangan strategik jangkamasa panjang MIS bagi tujuan pengemblengan dan pemilikan harta ummah. Hasil dari sewaan hartanah ini akan disalurkan bagi tujuan pengagihan program-program bantuan serta bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan hartanah tersebut kelak.

Kenapakah harga sewa Dewan KIS sekarang ini semakin mahal dan berubah-ubah?

Kadar sewaan semasa Dewan KIS adalah berpatutan memandangkan kualiti perkhidmatan serta fasiliti yang ditawarkan setaraf dengan mana-mana dewan hotel di sekitar bandaraya Kuching. Pada permulaan operasi, kadar sewa yang ditawarkan adalah pada kadar promosi bagi tujuan memperkenalkan kewujudan Dewan KIS. Memandangkan operasi dewan ini memerlukan kos penyelenggaraan, cukai dan insuran yang dikenakan pada kadar komersial, maka kadar sewa yang dikenakan telah diubah bagi membolehkan kelangsungan operasi dewan tersebut.

Apakah ada kemungkinan bangunan KIS disalahgunakan oleh penyewa seperti menjadikannya sebagai panggung wayang, menjual arak dan sebagainya?

Projek-projek pembangunan MIS melalui TABUNG BAITULMAL SARAWAK telah dilaksana mengikut kajian terperinci dan keperluan semasa. Bagi tujuan ini, entiti pengurusan fasiliti yang professional telah dilantik bagi memastikan pengurusan kompleks secara profesional dan mengikut kehendak syariah. Dokumen serta surat perjanjian juga telah dirangka bagi memastikan tujuan ini tercapai.

Kenapakah TABUNG BAITULMAL SARAWAK perlu melibatkan diri dalam pembangunan sedangkan masih ramai orang miskin yang belum dibantu?

Secara dasarnya, Program bantuan TABUNG BAITULMAL SARAWAK sentiasa berjalan sepanjang tahun bagi membantu golongan yang berhak. Peruntukan bagi pembiayaian agihan bantuan sememangnya disediakan dengan mencukupi.

MIS melalui TABUNG BAITULMAL SARAWAK telah merangka perancangan strategik jangkamasa panjang bagi memastikan keperluan ummah pada masa depan dapat dicapai selain dari memenuhi keperluan pada masa kini. Bagi memastikan aset-aset yang dipegang oleh MIS adalah strategik, berkualiti dan sentiasa dapat menghasilkan pulangan, pegangan dalam hartanah dijangka dapat menepati keperluan ini. Sungguhpun begitu, pegangan MIS dalam kelas-kelas aset lain masih juga dikekalkan bagi memastikan dana-dana yang diselenggara adalah sentiasa cair dan dapat menampung keperluan semasa.

Apakah gunanya Tabung Baitulmal Sarawak memiliki banyak bangunan?

Pemilikan hartanah yang dilaksanakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak adalah pendekatan untuk memastikan Dana Baitulmal dikembangkan dan ia merupakan persiapan bagi masa depan umat Islam. Dan pemilikan hartanah dapat memberi dua pulangan iaitu Hasil Sewa daripada pengunaan hartanah dan Kenaikan Nilai Asset. Perkara ini perlu dilihat sebagai satu peluang pemilikian yang perlu direbut peluang pada harga yang mampu dan wajar. Sementara wang kutipan zakat daripada operasi semasa masih mampu membiayai permohonan bantuan daripada mereka yang berhak.

Bagaimana pendekatan Tabung Baitulmal Sarawak untuk memastikan pemilikannya memberi pulangan?

Pendekatan yang digunakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak ialah dengan menyewakan kebanyakan bangunannya kepada jabatan kerajaan dan agensi-agensinya yang sudah pasti akan tetap membayar. Tidak timbul masalah pembayaran yang tertunggak atau tidak terbayar.

Pembiayaan untuk pembangunan Kompleks Islam Sarawak (KIS) mengunakan peruntukan zakat atau sebaliknya?

Pembangunaan Kompleks Islam Sarawak (KIS) telah dibiayai melalui sumber dana Tabung Baitulmal Sarawak. Sumber dana tersebut adalah hasil daripada lebihan kutipan khususnya Dana Baitulmal dan perolehan daripada hasil sewa dan iniasitif-iniasitif pengembangan dana yang lain.

Kenapakah tanah masjid/surau dan kubur harus didaftar di bawah Majlis Islam Sarawak?

Pendaftaran tanah masjid/surau dan kubur didaftar di bawah Majlis Islam Sarawak bagi mengekal atau menjamin pemilikan tersebut kekal dan selamat. Jika atas nama Jawatankuasa Pengurusan Masjid/Surau atau individu tertentu ia boleh ditukar milik dengan mudah. Ia juga merupakan peruntukan Ordinan Majlis Islam Sarawak.

Adakah kos penyelenggaraan lebih tinggi daripada hasil kutipan sewa?

Mengikut rekod kewangan Tabung Baitulmal Sarawak yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara, semua kutipan sewa bagi setiap bangunannya lebih besar daripada kos penyelenggaraan.

Adakah Tabung Baitulmal Sarawak memberi keutamaan kepada peniaga-peniaga Islam untuk menguna atau menyewa ruang yang sedia ada?

Pada masa kini ada sebahagian daripada lebihan ruang pejabat Tabung Baitulmal Sarawak setelah kebanyakannya disewa oleh kerajaan dan agensi-agensinya disewa kepada peniaga-peniaga yang berkemampuan. Insya-Allah dengan adanya beberapa premis wakaf dan komersial akan memberi peluang kepada peniaga-peniaga Islam untuk menyewa ruang yang ada.

Saya melihat Tabung Baitulmal Sarawak mempunyai banyak aset dan membuat pelbagai projek-projek besar, bagaimanakah pemantauan pengunaan sumber kewangan itu dibuat agar tidak menyalahi hukum?

Tabung Baitulmal Sarawak adalah satu tabungan jangka panjang bagi masyarakat Islam di negeri Sarawak. Ia sentiasa berusaha untuk memperkembangkan dana ini agar lebih mantap dan kukuh.

Perlu difahami juga bahawa dalam mentadbir dana umat Islam, ia tetap terikat dengan hukum hakam dan akan sentiasa memastikan tidak berlakunya penyalahgunaan dana seperti yang telah ditetapkan oleh syara’. Selain itu, Tabung Baitulmal Sarawak tidak terlepas semakan dan pengauditan daripada Jabatan Audit Negara bagi memastikan tidak wujudnya penyelewengan dalam pengunaan Dana Baitulmal.

Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.