MAJLIS PENYERAHAN AGIHAN BANTUAN TABUNG BAITULMAL SARAWAK
KUCHING, 29 MEI – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Agihan Bantuan kepada 42 penerima yang merangkumi pelbagai organisasi dan juga individu perseorangan melalui tiga program utamanya yakni Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan juga Program Membangunkan Institusi Islam (PMII).
Majlis yang disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Daud Abdul Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam Sarawak) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak sekaligus merangkap Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf tersebut diadakan bertujuan meringankan lagi beban di samping memberi dorongan dan sokongan kepada para penerima.
Sejumlah RM63,843 diagihkan kepada 42 penerima yang layak yakni yang meliputi RM55,721 untuk 38 orang penerima Bantuan ke IPT, RM2,182 untuk penerima Bantuan Kecemasan dan Bencana Alam, sejumlah RM1,200 untuk Bantuan Seminar Bengkel dan Pendidikan Pelajar, sejumlah RM3,000 diagihkan bagi tujuan Bantuan kepada Kebajikan dan Organisasi serta sejumlah RM1,740 disalurkan kepada Bantuan Kelengkapan Asas Masjid dan Surau.
Secara keseluruhannya, sebagai salah sebuah institusi Islam yang dinamik, Tabung Baitulmal Sarawak yang memegang amanah dalam hal ehwal pengurusaan zakat, giat berusaha sedaya-upaya dalam memastikan keperluan golongan yang memerlukan dipenuhi dengan sewajarnya di samping memastikan kewajiban berzakat difahami dan dijelaskan.
Majlis turut dihadirkan oleh Ybhg. Datu Haji Putit Matzen, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dan Ybhg. Tuan Haji Abang Mohd. Shibli Haji Abang Mohd. Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.