KUCHING, 15 APRIL – Tabung Baitulmal Sarawak berkolaborasi bersama Kakitangan Islam Jabatan Perikanan Laut Sarawak dalam menjayakan Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan bersempena Program ‘Kasih Ramadhan’ bertempat di Ummah Distribution Centre (UDC), Medan Hamidah, Jalan Bako, Petra Jaya, Kuching.
Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan telah dijayakan bersama YBhg. Datu Haji Abg. Mohd. Shibli bin Hj. Abg. Mohd. Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak dan Tuan Haji Bohari Bin Hj. Leng, Pengarah Perikanan Laut Sarawak, Jabatan Perikanan Laut Sarawak mewakili Kakitangan Islam jabatan tersebut.
Sebanyak 100 pek beras yang disumbang oleh Kakitangan Islam Jabatan Perikanan Laut Sarawak disalurkan kepada Ummah Distribution Centre dan seterusnya akan diagih kepada para Asnaf yang berdaftar di Tabung Baitulmal Sarawak. Program ‘Kasih Ramadhan’ ini adalah bertujuan untuk menyantuni para Asnaf sekaligus meringankan bebanan mereka sepanjang Ramadhan dan menjelang Aidilfitri nanti.
Pada hari ini, sebanyak 20 orang keluarga Asnaf menerima sumbangan Bantuan Pek Makanan yang diagihkan dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Rampangi, Petra Jaya.
Program ‘Kasih Ramadhan’ akan dilaksanakan di seluruh Sarawak dan pihak Tabung Baitulmal Sarawak menyeru kepada umat Islam untuk turut bersama menjayakan program-program yang dianjurkan oleh TBS dalam membantu para Asnaf dengan menyalurkan bantuan kepada mereka.
Bagi mereka yang ingin menyumbang boleh dibuat melalui Kaunter Tabung Baitulmal Sarawak yang terdekat dan Kiosk Pembayaran UDC. Masyarakat luar juga boleh melawat Galeri Ummah Distribution Centre untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut terutamanya berkaitan Kesihatan, Pendidikan, Ekonomi dan Makanan.